Buletin

ROLLS-ROYCE GHOST ELEGANCE INI DICAT DENGAN SERBUK PERMATA

Sebagaimana yang kita semua tahu, kemewahan kenderaan buatan Rolls-Royce memang berada di tahap berbeza.

Pengeluar itu juga memberi kebebasan untuk semua pelanggannya untuk melakukan projek custom mengikut selera dan kemampuan kewangan masing-masing. Terbaru, aspek kemewahan itu dibawa ke satu peringkat lain dan bakal dipamerkan di acara Geneva Motor Show 2017.

Seorang pelanggan yang membeli Rolls-Royce Ghost Elegance dilaporkan mengecat lomosin itu dengan cat khas yang diperbuat daripada batu permata sebenar! Gila ke hape?

Dikenali sebagai “Diamond Stardust,” cat yang dibangunkan khas itu menggunakan permata yang dihancurkan demi memberikan Ghost Elegance penampilan penuh berkilauan. Untuk makluman, Elegance ialah model Ghost yang mempunyai tapak roda lebih panjang berbanding Ghost standard.

Menurut Rolls-Royce, pekerja-pekerj pakarnya mengambil masa selama dua bulan untuk menyempurnakan kemasan cat dan menguji permata di bawah mikroskop untuk mengkaji bagaimana ia berinteraksi dengan cahaya.

Akhirnya, mereka dapat menghasilkan satu serbuk permata yang halus dan dicampur ke dalam cat jernih. Kemudian lapisan pengilat disapu untuk memastikan kemasan yang licin. Proses mengecat mengambil masa dua hari lebih lama berbanding cat biasa yang digunakan oleh Rolls-Royce.

Kemasan dua tona pada jentera itu diserlahkan lagi menerusi dua garis berwarna merah dan hitam yang dilukis menggunakan tangan. Penampilan itu disempurnakan lagi dengan rim bersaiz 21 inci dan patung Spirit of Ecstasy.

Ruang dalaman dihiasi dengan kulit berwarna hitam dan kelabu. Tidak ketinggalan,  kemasan berwarna merah, venir kayu Tudor Oak dan satu jam unik pada papan pemuka. Siapa punya Rolls-Royce la ni ya?

BACA: JAMES MAY JUAL ROLLS-ROYCE CORNICHE KERANA ALAHAN

BACA: ROLLS-ROYCE DAWN – RM4 JUTA SEUNIT! 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button