Artikel PilihanBuletin

“SPEED SISTERS”- KISAH PELUMBA WANITA DI PALESTIN YANG LAGI BEST DARI FAST & FURIOUS

Di tengah-tengah kerancakan promosi filem Fast and Furious 8, sebenarnya ada satu lagi filem bertemakan kereta keluaran Hollywood yang dipandang agak sepi.

Speed Sisters mengisahkan sisi empat orang pelumba wanita yang cukup menarik. Tapi kenapa?

Kerana inilah filem di mana empat orang watak utamanya merupakan pelumba berketurunan Palestin. Ia sebenarnya sudah ditayangkan Januari lalu tetapi mungkin tidak ditayangkan di Malaysia. Bukan satu masalah besar pun kerana ia boleh ditonton secara dalam talian ataupun DVD.

Filem ini berlatar belakang suasana di Tebing Barat, dengan penempatan Israel yang semakin meluas. Ia berkisar tentang lima wanita muda (termasuk seorang pengurus) menggapai impian untuk menjadi pelumba wanita pertama Palestin dalam perlumbaan anjuran Palestinian Motor Sports and Motorcycle Federation, yang ditubuhkan pada tahun 2005.

BACA: FILEM KERETA WAJIB TONTON TAHUN INI

BACA: FILEM TERBAIK AKSI MOTOSIKAL SEPANJANG ZAMAN

Pasukan lumba ini dianggotai oleh Marah, Mona, Betty, Noor dan Maysoon sebagai pengurus mereka. Semuanya mempunyai personaliti yang cukup berbeza. Marah bukanlah seorang yang panas baran, beliau merupakan pemandu terbaik antara mereka dan sedang bergelut dengan masalah kewangan keluarga dalam meneruskan hobi beliau itu.

Noor pula seorang pelumba berbakat tetapi mengalami kesukaran untuk mengingati laluan perlumbaan yang diumumkan beberapa hari sebelum perlumbaan. Mona pula lebih berminat untuk menikmati keseronokkan memandu, manakala Betty yang seksi bergaya merupakan duta tidak rasmi pasukan itu.

Litar yang ada memang jauh dari sempurna. Memang macam tak ada pun dan mereka menggunakan ruang-ruang kosong sama ada tempat-tempat pakir ataupun kawasan pasar yang lapang untuk mengasah bakat memandu masing-masing.

Mungkin filem ini boleh dikatakan sebagai dokumentari tentang pasukan pelumba kereta wanita pertama di Tebing Barat. Kebanyakannya berkisar tentang susah senang hidup para pelumba dan pengurus mereka di kawasan yang dikawal ketat tentera Yahudi. Ia juga memberikan gambaran kepada kita tentang betapa bahayanya kehidupan di kawasan zon ketenteraan dan peperangan.

Banyak babak dalam filem ini menggambarkan tentera lengkap bersenjata dan letupan-letupan yang berlaku di pos-pos kawalan. Itu belum termasuk serangan udara dan penggunaan gas pemedih mata.

Seorang watak wanita turut menyatakan yang bau gas pemedih mata itu mengingatkan beliau kepada suasana beliau berjalan ke sekolah semasa kecil. (Anak-anak di Malaysia main telefon pintar atas bas sebelum sampai ke sekolah). Ada juga babak yang memaparkan salah seorang pelumba tercedera terkena bekas peluru gas pemedih mata dan mengalami kecederaan.

Kebanyakan watak dalam kereta ini bertutur dalam bahasa Palestin atau Arab tetapi dengan sarikata dalam Bahasa Inggeris. Mereka juga merupakan lambang kebangkitan wanita di serantau dunia apabila ditindas oleh masyarakat dan tidak diberikan layanan yang adil.

Walaupun dalam filem ini, hubungan mereka dengan pelumba lelaki lain dilihat tidak mempunyai sebarang masalah, kemunculan mereka mengundang rasa tidak puas hati badan yang menguruskan perlumbaan di sana. Begitu juga dengan komuniti dalam talian. Namun mereka tidak menoleh ke belakang dan meneruskan usaha mereka.

“Speed Sisters” merupakan sebuah filem aksi perlumbaan yang tidak seharusnya dilepaskan. Ia digabungkan pula dengan soundtrack gabungan hip-hop versi Palestin (amek kaw) dan beberapa lagi rentak muzik indie setempat yang kita tak pernah dengar mampu membawa kita ke kawasan yang tak ramai antara kita pernah sampai.

Kenapa kami kata filem ini lagi best dari Fast & Furious? Sebab F&F sudang hilang jati diri asalnya. Dari filem tentang dunia kereta jalanan dah tukar jadi fiksyen dan aksi. Letup sana-sini. Bosan lah.

Nah tengok trailer dia (lepas tu pandai-pandai la korang cari link)

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button