Buletin

TOYOTA AURIS/COROLLA HATCHBACK 2018 – INI YANG KAMI MAHU

Sebelum ini kami ada paparkan artikel tentang Toyota Corolla Hatchback atau Auris yang tidak pernah dipasarkan secara rasmi di dalam negara. Model itu dibina khusus untuk pasaran Eropah dan negara paling hampir sebelah sini yang dibawa masuk ialah Australia.

Satu lagi perkara menarik tentang Corolla Hatchback ialah bayangan rekabentuknya yang terdapat pada Perodua Myvi baharu. 

Dan seperkara lagi menarik tentang Toyota ialah pengedar di negara kita tidak memasarkan Yaris kecuali model generasi pertama. Model ini dipasarkan di Thailand dan Indonesia ia diposisikan di atas Perodua Myvi atau Daihatsu Sirion.

Satu fakta tentang pasaran Malaysia ialah citarasa pembeli yang mahukan nilai tinggi untuk pilihan mereka. Ini boleh dilihat melalui jumlah dan kejayaan Honda berbanding pesaing lain yang berasal dari Jepun.

Honda juga mempunyai pelbagai jenis model yang kena dengan selera pasaran tempatan. Dari BR-V hingga CR-V kesemuanya laris belaka.

Untuk bersaing dengan Honda atau mendaki semula takhta jualan kereta bukan nasional, Toyota perlu melihat semula tawaran kenderaan mereka di sini.

Model-model hatchback seperti Auris dan Yaris nampak meyakinkan walaupun ia bukan kereta sedan. Mungkin ada yang berpendapat pasaran tempatan tidak gemarkan kereta hathcback tetapi Perodua sudah membuktikannya melalui Myvi dan Honda pula tidak putus asa dengan Jazz.

Berbalik kepada Auris tadi, Toyota baru sahaja melancarkannya di Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva. Model ini meneruskan gayaan rekabentuk yang tajam dan agresif seperti model gantiannya dahulu.

Model ini jelas dalam famili rekabentuk terbaru Toyota seperti Vellfire, Alphard dan Estima. Toyota Yaris yang baru dilancarkan di Indonesia juga mempunyai gayaan seperti ini.

Di negara kita, selain Vellfire dan Alphard, SUV kompak C-HR mempunyai bentuk agresif sebegini. 

Satu lagi hal menarik tentang penawaran Auris ialah Toyota nekad dengan agenda hibrid apabila memasarkan model ini dengan hanya satu jenis konvensional iaitu 1.2 liter turbo petrol. Dua lagi pilihan ialah 1.8 liter dan 2.0 liter hibrid.

Ini adalah satu perubahan besar di mana sebelum ini Toyota menawarkan lima pilihan enjin konvensional dan hanya satu pilihan enjin hibrid.

Toyota nampaknya berani menaruh risiko di Eropah kerana sewaktu generasi pertama Auris di pasarkan di sana pada tahun 2010 ia adalah model core pertama di Eropah yang ditawarkan dengan enjin hibrid.

Itu sahaja yang hendak dikongsikan memandangkan Toyota mempunyai pelbagai model menarik di peringkat global, bukan setakat Vios, Avanza dan Innova.

Toyota mempunyai penjenamaan dan keyakinan pasaran yang tinggi di kalangan pembeli dan itu sahaja belum memadai jika tidak diberikan dengan tawaran produk menarik.

Kecuali harga, C-HR adalah permulaan yang baik dari UMW Toyota.

Google ads
Back to top button