Artikel Pilihan

BUTANG POWER NI ADA FUNGSI KE TIDAK? SAMA KE DENGAN GEAR L?

Kebanyakan kereta moden sekarang akan diberikan mode pemanduan dimana pemandu boleh memilih mana-mana mode pemanduan yang kena dengan selera dia pada hari itu. Kalau kebetulan hari tersebut pemandu rasa macam malas dan nak pandu kereta dengan bersahaja, gunakan sahaja default mode iaitu “normal” mode.

Normal mode ini biasa direka untuk kegunaan harian, tak menjadikan enjin terlebih agresif dan tak menjadikan enjin lemau. Kalau hujung bulan pula masa gaji lambat masuk, boleh gunakan “Eco” mode pula. Mode ini akan mengubah talaan enjin supaya beroperasi dalam keadaan super efisyen tapi kadangkala ia boleh mengganggu prestasi enjin dan menjadi enjin lemau.

Kalau pandu dalam bandar dengan mode “eco” rasanya boleh menyumpah berbakul-bakul. Selepas memandu uji pelbagai kereta yang dilengkapi dengan mode pemanduan, penulis dapat rasakan yang mode pemanduan ini apabila diaktifkan akan mengubah talaan dan pemasaan enjin (bagi enjin iVTEC, VVTi atau dual VVTi) dan pada masa yang sama ECU akan mengarahkan supaya transmisi bekerja dengan lebih efisyen

Ketika ini juga ECU enjin akan mengurangkan kuasa pemampat penyaman udara dan menyebabkan penyaman udara menjadi kurang sejuk sedikit berbanding dengan mode normal. Tapi berlainan pula dengan SPORT mode kerana ECU akan mengarahkan respon enjin menjadi lebih pantas (mungkin melalui pengubahan masa operasi injap), dan transmisi akan mengubah cara operasi lock up pada torque converter dan sentiasa menggunakan gear yang lebih rendah

Bagi kereta yang mahal pula, apabila anda mengaktifkan butang sport talaan stering akan turut berubah menjadi lebih tajam dan sekiranya dilengkapi dengan penyerap hentak adaptif, talaan akan diubah agar penyerap hentak menjadi leboh keras dan tidak membuai ketika mengambil selekoh dengan laju. Semua ini akan menyebabkan anda lebih suka untuk memandu dengan laju

Tapi secara kontra apabila anda mode pemanduan SPORT ini juga, penggunaan bahan api akan meningkat. Sebab itulah pada kebanyakan masa penulis jarang sekali menggunakan sport mode pada kenderaan pandu uji kecuali untuk menguji respon kereta ketika dalam mode sport. Jarang sekali segmen A menyediakan mode pemanduan ini dan kebanyakan pengeluar menghasilkan mode pemanduan pada segmen B dan ke atas

Buat masa ini butang sport mode (atau power mode) disediakan bagi model Toyota Yaris, Toyota Vios, Perodua Myvi, Perodua Ativa, Proton X50, Proton X70, Hyundai Elantra, Mazda dan banyak lagi. Bagi Honda dan Proton Persona/Iriz ia tidak menawarkan mode Sport atau Power tapi hanya mode Eco sahaja. Berdasarkan pengalaman penulis, mode Normal Honda sudah cukup berkuasa untuk memotong dan mendaki bukit.

Kalau anda perasan juga, kebanyakan kenderaan yang menawarkan pelbagai mode pemanduan ini menggunakan transmisi CVT, DCT atau automatik 6 kelajuan. Ada juga pembaca yang bertanya, apa beza mode SPORT dengan kita menukar gear kepada gear L? Bukankah ia memberikan efek yang sama? Izinkan penulis terangkan melalui pengalaman

Minggu lepas penulis sempat pulang ke kampung melalui jalanraya Grik-Jeli yang seperti mana kita tahu memang banyak dengan sekeloh dan digabungkan dengan laluan mendaki dan curam. Pada mulanya penulis memaksa gear turun dengan menggunakan paddle shift yang berada di belakang stering. Walaupun kita rasa pilihan gear kita sudah sesuai, tapi malangnya pecutan enjin ketika mendaki biasa-biasa sahaja

Ketika ini penulis menggunakan mode pemanduan “normal”. Tapi sebaik sahaja penulis menukar mode pemanduan kepada SPORT, respon enjin menjadi lebih pantas, pecutan kereta tetap laju walaupun gear kekal pada kedudukan D. ECU akan memaksa enjin dan transmisi CVT bekerja keras tapi dengan harmoni.

Bagi menggandakan efek pecutan, barulah penulis turunkan 2 gear dengan menggunakan paddleshift dan berbeza ketika menggunakan mode normal proses penukaran gear dalam mode SPORT terasa lebih bertenaga, bersemangat dan sedikit menyentap.

Mungkin penjelasannya ialah jika menggunakan gear L sahaja, kita hanya meminta transmisi bekerja pada ratio yang rendah saja. Sebaliknya jika kita menggunakan mode SPORT, transmisi dan enjin akan berkerja pada prestasi yang paling optimum. Malah ketika menuruni selekoh berbukit, mode SPORT juga akan menghalang CVT daripada menggunakan ratio tinggi yang boleh menyebabkan kereta hilang cengkaman dengan memberikan kesan “engine braking”

Jadi tak perlulah penulis sentiasa menurunkan ratio CVT dengan dengan menggunakan paddleshift selalu. Jadi kalau kereta anda dilengkapi dengan mode SPORT, jangan malu dan segan untuk menggunakan ciri ini bagi mendapatkan prestasi paling optimum enjin untuk pemanduan lebih bersemangat.

Google ads
Back to top button