Buletin

SELEPAS 90 TAHUN, GM LEPAS ‘TAKHTA’ PEMBIKIN KENDERAAN TERLARIS AS KEPADA TOYOTA

General Motors (GM) yang memegang ‘takhta’ sebagai pembikin kenderaan terlaris Amerika Syarikat (AS) sejak 90 tahun lalu terpaksa melepaskan kedudukan terbabit.

Ia berikutan jualan tahunan syarikat berkenaan telah dipintas pengeluar kenderaan, Jepun, Toyota.

Menurut laporan Wall Street Journal, perubahan kedudukan itu antara lain disebabkan kekurangan bekalan cip berterusan sehingga menjejaskan industri automotif.

Toyota melaporkan jualan akhir tahun di pasaran AS mencecah 2.3 juta unit kenderaan, peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2020.

Dalam pada itu, GM pula mencatat jualan sebanyak 2.2 juta kenderaan kurang 114,000 unit kenderaan berbanding Toyota.

 Ia merupakan penurunan sebanyak 13 peratus berbanding jualan GM pada tahun 2020.

Syarikat pengeluar AS itu turut dilaporkan berada di belakang Toyota pada jualan suku kedua dan ketiga.

Jualan suku keempat Toyota menguncup sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2020 manakala GM mencatatkan penurunan sebanyak 30 peratus.

“Kekurangan semikonduktor antara lain mewujudkan satu set keadaan yang belum pernah terjadi sebelumnya.

“Begitupun, GM telah mengembangkan lagi menerajui segmen pikap dan SUV.

“Tahun 2022 bermula dengan rantaian bekalan bertambah baik secara berperingkat dan ia akan membawa kepada pertumbuhan pada 2022 apabila melancarkan beberapa kenderaan baharu termasuk EV dan pikap yang direka semula,” kata GM dalam laporan CNN Business.

Menurut firma penyelidikan, Cox Automotive, pengeluar kenderaan luar dari AS seperti Hyundai, Mazda, Volkswagen dan BMW turut mencatatkan peningkatan dalam jualan akhir tahun. –carscooops

Google ads
Back to top button