
BYD K-CAR DILANCAR TAK LAMA LAGI DI JEPUN – ANGGARAN HARGA RM61K
BYD bakal memperkenalkan model elektrik paling kecil dan mampu miliknya, dikenali sebagai BYD K-Car, di Japanese Mobility Show 2025 pada 30 Oktober ini.
Menariknya, model ini telah dikesan di jalan raya Jepun tanpa sebarang pelekat samaran, memberi gambaran jelas terhadap rekaan akhir sebelum pelancaran rasmi.
Dijangka dijual pada harga sekitar 2 juta yen (RM61,000), K-Car ini akan menjadi model asas dalam barisan kenderaan elektrik BYD, direka khusus untuk pasaran Jepun.
Ia juga menandakan langkah strategik BYD untuk menembusi segmen “Kei car”, kategori kereta kompak yang amat popular di negara itu — dengan panjang maksimum 3.4 meter, lebar 1.48 meter, dan tinggi tidak melebihi 2 meter.

Tahun lalu sahaja, kereta kategori ini merangkumi 38 peratus daripada jualan keseluruhan pasaran Jepun.
Rekaan BYD K-Car yang dilihat baru-baru ini memperlihatkan badan berwarna putih dengan tiang berwarna hitam, mewujudkan ilusi bumbung terapung.
Ia turut dilengkapi rim aloi pelbagai jejari berwarna kelabu, pintu gelangsar belakang, serta lampu utama dan belakang berasap. Garisan bumbung yang rata pula membantu memaksimumkan ruang kabin, sementara jarak roda yang panjang dan overhang pendek menyerlahkan gaya moden serta praktikal.
Bahagian dalaman dikatakan menampilkan stereng tiga jejari dan skrin sesentuh terapung, sejajar dengan rekaan kabin minimalis BYD terkini.

Walaupun maklumat tentang motor elektrik masih dirahsiakan, laporan awal menyebut K-Car ini akan dikuasakan oleh bateri LFP 20kWh, dengan jarak pemanduan sekitar 180km mengikut piawaian WLTC.
Sebagai perbandingan, Honda N-Box, antara model kei car paling laris di Jepun dijual dari 1.78 juta yen (RM55,000).
Dengan harga permulaan yang kompetitif serta reputasi BYD dalam teknologi EV, K-Car ini dijangka mencetuskan persaingan baharu dalam segmen kei car elektrik di Jepun.

