
BYD FLASH CHARGING. ULTRA PANTAS, BAKAL TIBA DI MALAYSIA
Selepas memperkenalkan teknologi Flash Charging di China, BYD mengesahkan Malaysia bakal menjadi antara pasaran terawal di Asia Tenggara yang akan menerima teknologi pengecasan ultra pantas tersebut.
Menurut BYD Malaysia, pelaksanaan awal akan bermula di beberapa bilik pameran dan pusat servis terpilih sebelum diperluaskan secara berperingkat ke lokasi awam dan hab pengecasan strategik.
Apa yang menjadikan Flash Charging berbeza daripada pengecas DC konvensional ialah keupayaannya menyalurkan kuasa sehingga 1,500 kW (1.5 megawatt). Sebagai perbandingan, kebanyakan pengecas DC pantas yang tersedia di Malaysia ketika ini menawarkan output sekitar 60kW hingga 180kW, manakala unit 350kW pula masih terhad bilangannya.

Seni bina 1,000V, arus 1,000A
Rahsia di sebalik kepantasan ini bukan terletak pada pengecas semata-mata. BYD membangunkan keseluruhan ekosistem baharu yang dikenali sebagai Super e-Platform, menggunakan seni bina elektrik 1,000 volt bersama arus pengecasan sehingga 1,000 ampere.
Gabungan kedua-duanya membolehkan sistem mencapai kadar pengecasan 10C, iaitu antara yang terpantas dalam industri EV ketika ini.

Bagi memastikan bekalan kuasa kekal stabil, setiap stesen Flash Charging turut dilengkapi Battery Energy Storage System (BESS). Sistem storan tenaga ini bertindak sebagai penimbal yang menyimpan tenaga sebelum disalurkan kepada kenderaan ketika proses pengecasan, sekali gus mengurangkan beban terhadap grid elektrik setempat.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan prestasi pengecasan lebih konsisten, malah memudahkan pemasangan stesen berkuasa tinggi di kawasan yang mempunyai kekangan bekalan elektrik.

Tiga angka yang mudah diingat – 5, 9 dan 12
Daripada memperkenalkan pelbagai spesifikasi teknikal yang sukar difahami pengguna biasa, BYD memilih pendekatan lebih mudah dengan memperkenalkan konsep “5, 9 dan 12”.
Nombor pertama, 5, merujuk kepada masa yang diperlukan untuk mengecas bateri daripada 10 hingga 70 peratus. Hanya lima minit diperlukan untuk mencapai tahap tersebut.
Angka 9 pula bermaksud bateri boleh dicas daripada 10 hingga 97 peratus dalam tempoh hanya sembilan minit.
Lebih mengagumkan, teknologi ini masih mampu mengekalkan prestasi pengecasan walaupun dalam keadaan cuaca ekstrem. Dalam suhu serendah -30 darjah Celsius, bateri masih boleh dicas daripada 20 hingga 97 peratus dalam masa sekitar 12 minit.
Ini menunjukkan sistem pengurusan haba dan bateri yang dibangunkan BYD mampu mengekalkan kadar pengecasan tinggi tanpa dipengaruhi suhu persekitaran secara ketara.

Direka untuk memudahkan pengguna
Selain kuasa pengecasan yang tinggi, BYD turut memberi perhatian kepada aspek ergonomik. Stesen Flash Charging mudah dikenali menerusi reka bentuk tiang berbentuk T, lengkap dengan kabel pengecasan sejukan cecair yang digantung dari bahagian atas. Susunan sebegini mengurangkan berat kabel yang perlu dipegang pengguna ketika mengecas.
Nozel pengecas pula hanya seberat sekitar 2 kilogram dengan konsep “graviti sifar”, menjadikannya lebih ringan dan mudah dikendalikan walaupun menggunakan sistem penyejukan cecair.
Konfigurasi ini juga membolehkan proses mengecas dilakukan tanpa pemandu perlu mengubah kedudukan kenderaan semata-mata untuk mencapai port pengecas.

Serasi dengan Blade Battery generasi kedua
Teknologi Flash Charging dibangunkan bersama Blade Battery generasi kedua, iaitu evolusi kepada bateri Blade yang menjadi antara kekuatan utama BYD sejak beberapa tahun lalu.
Selain menyokong pengecasan ultra pantas, bateri baharu ini menawarkan peningkatan sekitar lima peratus dari segi ketumpatan tenaga berbanding generasi terdahulu.
Hasilnya bukan sekadar masa pengecasan yang lebih singkat, malah jarak pemanduan turut meningkat sehingga mencecah 1,036 kilometer bagi model tertentu mengikut kitaran ujian China. Blade Battery generasi kedua dijangka digunakan pada model-model baharu BYD termasuk jenama premium Denza dan Yangwang.

Malaysia bakal menyusul
Ketika ini BYD sedang giat membangunkan rangkaian Flash Charging di China dengan sasaran 20,000 stesen menjelang penghujung 2026. Selepas itu, teknologi sama akan diperluaskan ke pasaran antarabangsa termasuk Malaysia.
Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, Malaysia bakal muncul sebagai antara negara pertama di Asia Tenggara yang menawarkan pengecasan EV pada kadar 1.5 MW.
Persoalannya kini bukan lagi sama ada teknologi tersebut mampu berfungsi atau tidak, sebaliknya sejauh mana infrastruktur tempatan mampu berkembang bagi menyokong pengecasan ultra pantas generasi baharu ini.
Apa yang pasti, dengan keupayaan mengecas sehingga 70 peratus dalam hanya lima minit, BYD semakin hampir merealisasikan matlamat untuk menjadikan pengalaman mengecas EV semudah mengisi minyak di stesen petrol.







