
CHARCOAL CANISTER? APA BENDA NI?
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Pernah dengar tak komponen bernama “Charcoal Canister” ? Kalau pernah, baguslah. Kalau tak pernah, bagus juga sebab ketika anda membaca artikel ini, anda akan tahu kewujudan komponen ini dan juga fungsinya.
“Charcoal Canister” merupakan salah satu komponen di dalam sistem “Evaporative Emission Control”(EVAP) atau nama rasminya iaitu “Onboard Refueling Vapor Recovery”(ORVR).
Sistem ini merupakan sistem kawalan emisi yang berfungsi untuk memerangkap wap petrol yang berbahaya ketika mengisi petrol.
Sebenarnya sistem ini sudah lama wujud di dalam dunia Automotif. Pada tahun 1970, pihak “Environmental Protection Agency”(EPA) di USA sudah mula tegas dalam mengawal pencemaran emisi. Mereka melaksanakan undang-undang yang menetapkan tahap wap bahanapi yang meruap ke udara ketika proses mengisi bahanapi ke kenderaan.
Disebabkan itu, pengeluar mula memasang sistem yang dipanggil “Stage II Control System” bagi mengawal pencemaran. Sehinggalah pada tahun 1998 “Stage II Control System” dimansuhkan dan ditukar kepada ORVR secara berperingkat dan diwajibkan kepada semua kenderaan di USA.
Nampak tak ? Sampai ada undang-undang yang mengawal tahap wap bahanapi dilepaskan ke ruang udara. Maknanya apa ? Ianya berbahaya Tuan-Tuan. Tak faham kadang-kadang ada yang stim dengan bau petrol.
Berbalik kepada “Charcoal Canister”, komponen ini bertujuan untuk memerangkap wap banhanapi dari bebas meruap ke udara. Wap yang terperangkap di dalam komponen ini kemudian akan dilepaskan kembali ke enjin melalui “Purge Valve” dan seterusnya dibakar.
Binaan “Charcoal Canister” terdiri daripada perumah yang kebiasaannya dibuat daripada plastik dan di dalamnya terdapat bahan yang dipanggil “Activated Carbon”.

Komponen ini boleh rosak ke ?
Boleh Tuan-Tuan. Komponen ini diklasifikasikan sebagai komponen “Wear & Tear”. Ia akan habis atau rosak seiring dengan masa dan penggunaan.
Antara simptom “Charcoal Canister” kenderaan anda sudah berada dalam keadaan tidak baik ialah lampu amaran “Check Engine” akan menyala. “Fault Code” pula akan merujuk kepada sistem “EVAP”.
Kemudian, ketika anda membuka penutup tangki bahanapi untuk mengisi petrol, akan ada bunyi seperti gas keluar dari corong masukan bahanapi. Hal ini berlaku kerana wap bahanapi tidak lagi dapat diserap oleh “Charcoal Canister” dan terperangkap di dalam tangki bahanapi.
Perkara ini juga membuatkan anda akan perasan kehadiran bau petrol di sekeliling kenderaan anda dan lebih teruk bau tersebut boleh dikesan di dalam kabin kenderaan.
Kesan yang paling ketara sekali ialah ketika anda mengisi bahanapi, nozel petrol sudah mula menendang walaupun petrol masih belum penuh di dalam tangki. Kes ini paling popular di kalangan kita. Percayalah, sekiranya anda mengalami situasi ini, hal ini bermakna “Charcoal Canister” anda sudah rosak dan perlu ditukar.

Mahal ke ?
Subjektif. Sekiranya anda memandu kenderaan Volkswagen, harganya tidaklah mahal mana. Dalam lingkungan RM200-RM350 sahaja bergantung kepada tempat. Sekiranya anda memandu Ford Mustang contohnya, harganya sedikit mahal sekitar RM3,500-RM4,500 sahaja bergantung kepada tempat.
Oleh itu, sentiasa lah beringat dan menyediakan modal kecemasan sekiranya perkara-perkara seperti ini berlaku pada kenderaan anda.



