
CHINA CAPAI JUMLAH PENGELUARAN NEV 20 JUTA UNIT
China berjaya mencapai jumlah pengeluaran NEV sebanyak 20 juta setelah sebuah kenderaan tenaga baharu keluar dari kilang pembuatan milik syarikat AION GAC, Guangzhou, Isnin lalu.
Naib Menteri Industri dan Maklumat China, Xin Guobin, berkata NEV kini merupakan arah tuju utama dalam transformasi, penaiktarafan serta pembangunan hijau industri automobil global, selain pilihan strategik bagi pembangunan industri automobil China yang bermutu tinggi.
“Dalam tempoh 70 tahun, industri automobil China membangun dari sifar hingga menjadi hebat pada masa ini.
“NEV ke-20 juta itu menjadi satu momen simbolik dalam sejarah pembangunan automobil di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan pretasi cemerlang itu.
Menurut statistik Persatuan Pengeluar Kereta China (CAAM), pada lima bulan pertama tahun ini, jumlah pengeluaran dan penjualan NEV China masing-masing mencatat tiga juta dan 2.94 juta, iaitu meningkat 45.1 peratus dan 46.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pakar berpendapat, jumlah pengeluaran NEV China yang melebihi 20 juta menandakan pembangunan industri NEV China telah memasuki fasa baharu, iaitu pembangunan berkualiti tinggi secara berskala berasaskan perindustrian dan pasaran, sekali gus mendorong transformasi industri automobil global ke arah berkuasa elektrik dan pintar. – BERNAMA