Buletin

DS 7 CROSSBACK – SUV PREMIUM PERANCIS, RM199,888 SEUNIT

Jenama DS mula berada di Malaysia pada tahun 2013. Pengenalan DS 7 Crossback adalah untuk memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan sebuah SUV premium. SUV premium itu boleh anda miliki pada harga RM199,888 seunit.

DS7 Crossback digerakkan oleh enjin petrol 4-silinder 1.6L THP berkuasa 165hp @ 6,000rpm dengan tork mencecah 240Nm @ 1,400rpm.

Enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan (EAT6) bersama ciri baharu Auto Impuls dan paddle shift. Ia mampu mencatat kelajuan sehingga 200kmj.

DS 7 Crossback SUV tampil dengan rekaan sporty dengan rekaan DS WINGS dan kemasan krom pada bahagian hadapan. Gril berbentuk heksagon berwarna hitam berkilat diserlahkan dengan lencana DS di tengah-tengahnya.

Unik kepada varian Performance Line, gril tersebut ditambah dengan lencana Performance Line.

Jentera itu dipasang dengan sistem lampu DS ACTIVE LED VISION yang boleh ditala dalam lima mode pencahayaan iaitu Town Beam, Country Beam, Motorway Beam, Adverse Weather dan High Beam. İa pasti dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan di jalan raya.

Apabila SUV ini dibuka, lampu DS ACTIVE LED VISION akan mengeluarkan lampu berwarna ungu. Bahagian belakang menggunakan lampu LED dengan efek 3D. Melengkapkan penampilan itu ialah rim aloi 19 inci Onyx hitam yang dibalut tayar 235/50.

Tipikal sebuah DS, ruang kabin ini menampilkan rekaan yang moden dan elegan. Papan pemuka dihuni oleh skin sentuh bersaiz lapan inci yang menawarkan sistem antara muka multimedia DS Connect demngan ciri Apple CarPlay, Android Auto dan Mirrorlink.   

Pemandu pula dihidangkan dengan kluster instrumen digital dengan skrin bersaiz 12.3 inci yang boleh diubah suai paparannya. Stereng pula dibalut kulit.  

Varian Performance Line didatangkan dengan kemasan Alcantara hitam bersama jahitan berwarna emas. Material berkualiti tinggi seperti alumium digunakan pada pedal.

Anda juga pasti berpuas hati dengan sistem audio FOCAL Electra® HiFi bersama 14 unit pembesar suara untuk kualiti bunyi terbaik.

Kemewahan ruang dalaman diserlahkan lagi dengan kemasan krom ‘Clous de Paris’ pada konsol tengah. Sementara jam eksklusif hasil kerjasama dengan B.R.M Chronographs, B.R.M R180 menambah sentuhan elegan kepada DS 7 Crossback.

Sebagai sebuah kenderaan untuk keluarga, DS 7 Crossback dilengkapi  pelbagai sistem keselamatan seperti

Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Program Stabiliti Elektronik (ESP), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Agihan Brek Elektronik (EBD), Regulasi Anti-Gelincir (ASR), Kawalan Kestabillan Dinamik (DSC), Amaran Perhatian Pemandu, 6 beg udara dan ISOFIX.

DS7 Crossback ditawarkan dalam warna hitam, putih mutiara, merah dan kelabu. 

Bagi memberi ketenangan minda kepada pemiliknya, Naza Auro Motors menawarkan jaminan 5 tahun atau hingga 120,000km (mana-mana tiba terdahulu), 5 tahun bantuan jalanan 24 jam dan akses eksklusif  SkyLounge di Subang Skypark.

Google ads
Back to top button