
COACHBUILDER HURTAN SAMBUT ULANG TAHUN KE-30, LANCAR MODEL “MIATA” KLASIK EDISI TERHAD ENAM UNIT
Tak sangka bukan, di sebalik rupa paras kereta era 50-an dan 60-an yang elegan ini sebenarnya merupakan sebuah Mazda Miata MX-5 (ND).
Ia merupakan model Grand Albycin, dan dibina secara kustom oleh syarikat coachbuilder Hurtan yang berasal dari Granada.

Bersempena dengan ulang tahun yang ke-30, Hurtan melancarkan model Grand Albycin 30th Anniversary Edition, dengan angka produksi yang sangat terhad sebanyak enam unit sahaja.
Aspek rekaan masih tidak berubah, sama seperti model yang diperlihatkan pada tahun 2021.
Ia menampilkan unit lampu LED berbentuk bulat, jeriji olskool, dan boleh didapati dalam versi bumbung keras Targa atau bumbung fabrik Cabrio.

Edisi ulang tahun ini boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis pilihan warna, upholsteri dan trim ruang kabin seperti kayu dan logam, tidak ketinggalan lencana ulang tahun khas pada bahagian perehat kepala.
Pemilik juga akan mendapat sebuah buku gambar khas dan menjadi sebahagian daripada ahli eksklusif Hurtan Club.
Harga jualan tidak diumumkan, namun sebagai perbandingan model standard Hurtan dijual bermula dari €59,000 (RM275,047), jauh lebih mahal berbanding Mazda Miata MX-5 standard.







