Buletin

CUBAAN SELUDUP MINYAK PETROL BERNILAI RM24,500 GAGAL

Aktiviti penyeludupan minyak petrol sebanyak 150 tong oleh dua individu dalam sebuah bot kargo berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna perairan Pulau Bum-Bum, pada malam 21 April lalu.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi bin Hassan berkata, anggota yang sedang melakukan rondaan cuba menahan bot kargo itu selepas mendapati ianya bergerak dalam keadaan mencurigakan, namun begitu juragan bot kargo bertindak melarikan diri apabila ternampak bot ronda milik Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot kargo yang berjaya ditahan mendapati dua orang kru tanpa dokumen pengenalan diri yang sah berada bersama 150 tong minyak petrol dalam bot kargo,” kata beliau.

“Ini merupakan kes kedua yang direkodkan zon Maritim Semporna bagi tahun 2019 setakat ini. Tangkapan pertama membabitkan aktiviti penyeludupan bahan bakar adalah pada bulan Februaril lalu,” tambahnya.

Hasil rampasan termasuk bot, enjin sangkut dan 150 tong minyak petrol dianggarkan bernilai RM 24,500 ditunda masuk ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

 Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan  rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.

KREDIT: APMM

Google ads
Back to top button