Buletin

KUCHING MENUJU PENGANGKUTAN BERASASKAN HIDROGEN SEPENUHNYA TAHUN HADAPAN

Sistem pengangkutan awam di Kuching bakal beroperasi sepenuhnya menggunakan hidrogen menerusi inisiatif Kuching Urban Transportation System (KUTS) menjelang tahun hadapan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, usaha ini merangkumi penggunaan bas hidrogen serta sistem rel transit autonomi (ART) yang akan datang, dengan matlamat menggalakkan penggunaan domestik hidrogen bersih dalam kalangan rakyat.

“Sarawak kini giat meneroka projek Power-to-X dan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah untuk menghasilkan hidrogen bersih.

“Dengan menggabungkan hidrogen dan karbon dioksida, kita mampu menghasilkan pelbagai jenis bahan api dan bahan kimia sintetik seperti metanol hijau, bahan api penerbangan lestari, ammonia hijau, dan juga poliester.

“Poliester ini boleh diproses menjadi pelbagai bentuk seperti gentian hijau, botol atau filem, sekali gus menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak berada pada kedudukan strategik dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk membangunkan industri hidrogen bersih.

Beliau berkata, dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar serta sumber gas asli dan keupayaan penangkapan serta penyimpanan karbon, Sarawak bertekad menjadi hab hidrogen bersih yang berdaya saing dengan kapasiti pengeluaran berskala besar.

“Kita telah memulakan perjalanan ini dengan pembangunan Sarawak Hydrogen Hub di Bintulu yang akan menempatkan projek utama seperti H2onbill dan H2biscus bersama rakan strategik antarabangsa dari Jepun dan Korea Selatan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Sarawak telah memulakan projek metanol hijau pertama menerusi Sarawak Petchem, yang bukan sahaja menonjolkan komitmen negeri terhadap penyelesaian tenaga inovatif tetapi juga meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam peralihan ke arah sistem tenaga yang lebih bersih dan lestari. – The Borneo Post

Google ads
Back to top button