
CUPRA TAVASCAN – DARIPADA MODEL KONSEP KE MODEL JALANAN SEBENAR
Masa hadapan untuk pengeluar jenama CUPRA sudah tiba. Inilah dia model yang diangkat terus daripada model konsep ke model sebenar jalanan, CUPRA Tavascan. Sebuah SUV Coupe model EV (electric vehicle) yang kacak bergaya.
Model ini mungkin diantara yang dinantikan ketika Wayne Griffiths merangkap Ketua Pegawai Eksekutif buat SEAT & CUPRA membuat pengumuman ketika Sidang Persidangan Tahunan yang dijadualkan akan berada di pasaran 2024 nanti. Ini adalah model EV kedua sepenuhnya setelah CUPRA Born turut dilancarkan.

CUPRA Tavascan ini dibina berdasarkan pelantar MEB daripada Kumpulan Volksvagen sendiri. Pelantar MEB ini sememangnya dikhususkan untuk pengeluaran model kereta EV seperti Volkswagen ID.3, Audi Q4 e-tron dan juga Skoda Enyaq.
SUV Coupe EV ini dijanakan menggunakan dua pilihan trenkuasa daripada dua motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 250kW yang disalurkan melalui empat roda untuk varian tertinggi. Manakala satu lagi trenkuasa menggunakan pacuan roda belakang menghasilkan kuasa 210kW Menggunakan pek bateri 77kWh lithium-ion yang ditempatkan di lantai kereta, ianya mampu mencecah sehingga 549km jarak perbatuannya.

Rekaan aerodinamik dan garis badan yang licin ternyata menyerlahkan lagi rekaan dan rupa luaran CUPRA Tavascan ini. Berbanding rekaan gril yang mungkin kelihatan sedikit tertutup, bahagian bampar mempunyai beberapa garisan yang terbuka dengan tujuan untuk aliran udara bagi menyejukkan pek bateri yang terdapat di bahagian bawah kereta.
Manakala rekaan rim ala turbin bersaiz 21 inci itu cukup kena dengan tema sebuah kereta EV sebegini. Nampak futuristik. Dan rekaan sebegitu mempunyai tujuan untuk meminimumkan rintangan sekali gus membenarkan kereta terus meluncur tanpa halangan.

Memandangkan ianya zero emisi dan tidak memerlukan sebarang tip ekzos ditempatkan di bahagian belakang, maka rekaan diffuser bahagian bampar telah direka supaya lebih aerodinamik untuk melepaskan angin yang melepasi, untuk lebih prestasi. Lampu belakang turut merintangi hujung ke hujung dengan rupa yang kelihatan lebih kemas.

Bahagian kabin menampilkan rekaan yang cukup futuristik dan moden. Paling ketara adalah penggunaan skrin sesentuh infohiburan yang bersaiz sebuah komputer riba, 15 inci di bahagian tengah konsol. Ini adalah skrin sesentuh yang paling besar pernah dipasang pada model CUPRA. Model ini turut dipasangkan dengan 12 speaker premium daripada Sennheiser untuk pendengaran yang lebih sedap.
Ciri keselamatan / kemudahan lain yang ada meliputi Predictive Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition, Intelligent Speed Adaptation, Side Assist, Lane Assist, Exit Warning, Exit Assist, Fatigue Detection dan juga Rear View eSmart Camera.
CUPRA Tavascan ini bakal dijual bermula tahun hadapan dengan anggaran harga sekitar £50,000 (RM275,932).
BACA : VOLKSWAGEN BAKAL JUAL EV BUATAN CHINA DI EROPAH, GUNA JENAMA CUPRA
BACA : CUPRA FORMENTOR – WOW JUGA SUV COUPE INI KAN



