Buletin

WRC 2023 – ELFYN MENANG DI RALLY CROATIA YANG PENUH DENGAN EMOSI

Pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing, Elfyn Evans akhirnya muncul sebagai pemenang bagi Rally Croatia yang berlangsung dalam perlumbaan yang penuh dengan emosi susulan kemalangan maut yang menimpa pemandu pasukan Hyundai Motorsport, Craig Breen sebelumnya.

Sebelum bermulanya perlumbaan, kesemua pemandu dan krew daripada pasukan yang bertanding berkumpul dan berhimpun sebagai tanda penghormatan & memperingati mendiang Craig Breen yang sangat meminati sukan rali ini. Pasukan Hyundai Motorsport telah tampil dengan corak rekaan khas bersempena dengan pemergian mendiang Craig Breen manakala lain – lain pasukan turut menampalkan pelekat sebagai tanda memperingati mendiang.

Dan atas semangat solidariti, pasukan Toyota Gazoo Racing telah mengumumkan bahawa hanya dua buah jentera mereka yang akan mengutip mata pasukan memandangkan pasukan Hyundai Motorsport memutuskan untuk hanya menghantar dua buah jentera sahaja.

Mereka tidak menghantar pengganti untuk jentera bernombor 42 yang sepatutnya dipandu oleh mendiang Craig Breen. Pasukan Toyota Gazoo menamakan Sebastian Ogier dan Kalle Rovanperä sahaja untuk mengutip mata pasukan.

Kemenangan Elfyn Evans ini dilihat cukup signifikan kepada beliau sendiri sementelah melakukannya kali terakhir memenangi perlumbaan kira – kira 18 bulan yang lalu. Terlebih dahulu, Thierry Neuville berjaya mendahului saingan di SS awal dengan berjaya mengenepikan dua pemandu pasukan Toyota Elfyn Evans dan juga Sebastian Ogier.

Pemandu Belgium ini mengalami kemalangan setelah sedikit terbabas dan bahagian belakang terlanggar blok konkrit dan mengakibatkan kerosakan teruk dan terpaksa bersara pada hari Sabtu pagi. Dan peluang tersebut diambil oleh Elfyn Evans untuk terus memimpin perlumbaan walau pun cuba dikejar rapat oleh pemandu pasukan M-Sport Ford, Ott Tanak yang berada di tempat kedua keseluruhan.

Tempat ketiga keseluruhan pula menjadi milik pemandu dari Finland Esapekka Lappi yang memandu jentera Hyundai i20 N Rally1. Dengan keputusan ini, ianya sesuatu yang unik apabila ketiga – tiga pasukan yang bertanding berjaya menampilkan wakil di atas podium.

Melengkapkan lima tempat teratas adalah Kalle Rovanpera dan Sebastian Ogier yang masing – masing berada di tempat keemapat dan kelima keseluruhan bagi mengutip mata penting untuk pasukan. Dan menariknya kini, kedudukan mata bagi Pemandu didominasi tiga pemandu utama pasukan Toyota Gazoo Racing selain daripada terus mengukuhkan kedudukan bagi kategori Pengeluar.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Sebastian Ogier – 69 mata
  2. Elfyn Evans – 69 mata
  3. Kalle Rovanpera – 68 mata

Kedudukan Mata Pengeluar

  1. Toyota Gazoo Racing – 161 mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 132 mata
  3. M-Sport Ford – 108 mata

BACA : WRC 2023 – SEBASTIAN OGIER MENANG BUAT KALI KE TUJUH DI MEXICO

BACA : WRC 2023 – CENTRAL EUROPEAN RALLY PERTAMA KALI MEMBABITKAN TIGA BUAH NEGARA

Google ads

B K

Back to top button