Artikel Pilihan

CYBERTRUCK TAK LAKU, VENDOR PENING KEPALA

Beberapa tahun lalu, Elon Musk dengan bangganya mengumumkan bahawa Tesla akan menghasilkan sehingga 250,000 unit Cybertruck setahun. Pikap elektrik itu dipasarkan sebagai model (disruptor) yang bakal menggoncang pasaran trak.

Namun realitinya sangat pahit buat Musk apabila angka jualan Cybertruck langsung tidak menghampiri sasaran tersebut. Tahun ini, secara global Tesla dijangka hanya menjual kurang daripada 20,000 unit Cybertruck, iaitu tidak sampai 10 peratus daripada sasaran asal yang terlalu optimistik itu.

Walaupun anda hampir pasti tidak akan mendengar Elon Musk mengakui Cybertruck sebagai kegagalan, sebaliknya terus menggambarkannya sebagai satu kejayaan besar. Hakikatnya jualan yang lebih rendah daripada jangkaan kini mula menjejaskan pembekal mereka di peringkat global.

Salah satu mangsa ketara ialah L&F Co., pembekal bahan bateri dari Korea Selatan, yang baru-baru ini mendedahkan bahawa kontrak bekalan mereka dengan Tesla telah dipotong sebanyak 99 peratus. Perubahan drastik ini dikaitkan sebahagiannya dengan permintaan Cybertruck yang lembap.

Pada Februari 2023, L&F sebelum ini telah memperoleh kontrak besar bernilai 3.83 trilion won (kira-kira AS$2.67 bilion) untuk membekalkan Tesla dengan bahan katod nikel tinggi, yang bertujuan digunakan dalam bateri Cybertruck. Namun kini, perjanjian tersebut telah dikurangkan kepada hanya 9.73 juta won, atau sekitar AS$6,776 (RM 27,422) mengikut kadar pertukaran semasa dan ini adalah satu pengurangan yang ketara

Kontrak asal ini berkait rapat dengan sel bateri 4680 Tesla, yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2020. Ketika itu, Tesla menggambarkan bateri 4680 sebagai satu lonjakan teknologi besar, teras kepada rancangan syarikat untuk meningkatkan pengeluaran dengan pantas dan akhirnya melancarkan EV bajet berharga AS$25,000. Namun model tersebut masih belum menjadi kenyataan, dan setakat ini, sel bateri 4680 kebanyakannya hanya digunakan pada Cybertruck.

Menurut sumber yang tidak dinamakan tetapi mempunyai pengetahuan mengenai kontrak bekalan tersebut, L&F hanya perlu membekalkan jumlah bahan yang sangat kecil berikutan pembangunan Cybertruck yang berulang kali ditangguhkan.

Laporan Bloomberg turut menyatakan bahawa isu dasar dan ekonomi juga memberi kesan kepada kontrak ini, termasuk penamatan subsidi tertentu di bawah Akta Pengurangan Inflasi (Inflation Reduction Act).

Ketika Tesla terus bergelut dengan jualan Cybertruck yang lembap, muncul pembeli yang akan memborong trak pikap ini. Menurut laporan terkini, SpaceX dilaporkan telah membeli lebih daripada 1,000 unit Cybertruck daripada Tesla, dan jumlah itu berpotensi meningkat sehingga 2,000 unit.

SpaceX setakat ini tidak menjelaskan tujuan pembelian sejumlah besar Cybertruck tersebut, namun ia dipercayai lebih berkait dengan lebihan stok berbanding keperluan operasi sebenar. Walau apa pun alasannya, langkah ini menggambarkan betapa terdesaknya operasi syarikat-syarikat milik Elon Musk, serta memberi bayangan bahawa Tesla mungkin sedang melepaskan inventori melalui “pintu belakang” syarikat sendiri.

Google ads
Back to top button