Artikel Pilihan

LEAPMOTOR MENDUNIA, JUAL 1.5 JUTA KERETA SELURUH DUNIA

Leapmotor mengumumkan satu pencapaian penting dalam perjalanan perkembangan globalnya apabila berjaya mencatatkan sebanyak 1.5 juta penghantaran kenderaan secara kumulatif di seluruh dunia.

Pencapaian ini membuktikan perkembangan pesat jenama tersebut serta pengukuhan kehadirannya di peringkat antarabangsa, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha Leapmotor untuk menjadi antara pemain utama dalam industri mobiliti elektrik global.

Pencapaian bersejarah ini direkodkan hanya lapan bulan selepas syarikat tersebut melepasi angka satu juta penghantaran kenderaan, sekali gus menggambarkan trajektori pertumbuhan yang semakin pantas serta peningkatan permintaan terhadap produk Leapmotor di pasaran global.

Sejak penghantaran kenderaan pertamanya di China pada Jun 2019, Leapmotor mengekalkan momentum pertumbuhan yang kukuh dan konsisten. Syarikat itu mencapai 500,000 penghantaran kumulatif pada Oktober 2024 sebelum melepasi paras satu juta unit pada Oktober 2025.

Kejayaan tersebut dipacu dengan lebih pantas menerusi peluasan operasi global melalui usaha sama Leapmotor International. Pencapaian 1.5 juta penghantaran ini mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan daripada 1.5 juta pelanggan di seluruh dunia yang memilih Leapmotor sebagai jenama pilihan mereka.

Pada masa yang sama, ia turut membuktikan komitmen syarikat dalam menawarkan penyelesaian mobiliti elektrik yang inovatif, boleh dipercayai dan mudah diakses bagi memenuhi keperluan pelanggan global yang semakin berkembang.

Leapmotor berhasrat untuk membawa penyelesaian mobiliti pintar dan menyeronokkan kepada lebih ramai pengguna di seluruh dunia. Dengan barisan model yang pelbagai, daripada kereta bandar yang lincah untuk golongan muda moden hinggalah model keluarga yang versatil, Leapmotor terus mendapat tempat di pasaran utama menerusi penekanan terhadap inovasi, kecekapan serta reka bentuk yang berfokuskan pengguna.

Mengenai Leapmotor International

Leapmotor International B.V. merupakan sebuah syarikat usaha sama yang diterajui oleh Stellantis dengan pegangan saham 51:49 antara Stellantis N.V. dan Leapmotor. Beribu pejabat di Amsterdam, syarikat ini memberi tumpuan kepada usaha mentransformasikan landskap kenderaan elektrik (EV) menerusi penggunaan teknologi dan inovasi terkini.

Leapmotor International komited untuk menawarkan penyelesaian mobiliti elektrik yang berasaskan teknologi moden pada harga mampu milik kepada pelanggan di seluruh dunia. Syarikat ini memulakan operasinya di Eropah pada September 2024 dan kini sedang memperluaskan kehadirannya ke pasaran India, Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika serta Amerika Selatan.

Barisan produk Leapmotor International ketika ini merangkumi model bandar segmen A, iaitu Leapmotor T03 yang menggunakan sistem elektrik sepenuhnya (BEV), selain SUV Leapmotor C10 BEV dan Leapmotor C10 Range Extended EV (REEV). Syarikat itu juga merancang untuk memperkenalkan beberapa model baharu bagi merangkumi semua segmen pasaran dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Google ads
Back to top button