Artikel PilihanBuletin

DAIHATSU JADI RAKAN TEKNOLOGI KERETA NASIONAL KE-3. DI PASARAN 2021

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking sebentar tadi mengumumkan dalam satu sidang media di Cyberjaya bahawa projek Kereta Nasional ke-3 telah dimuktamadkan.

Syarikat tempatan, DreamEdge Sdn Bhd telah dipilih menerajui projek ini yang dijangka akan memulakan operasi pengambilan tenaga kerja bermula September depan.

Dalam sidang media itu juga diberitahu bahawa projek ini tidak akan dibiayai kerajaan.

Kenderaan pertama yang akan dihasilkan ialah kereta penumpang sedan segmen C di mana prototaipnya akan diperkenalkan pada Mac 2020.

Model pertama tersebut dijangka akan siap sepenuhnya dan akan dilancarkan pada 2021.

DreamEdge, yang bermula dengan operasi di pejabat kecil dengan tiga orang jurutera, kini mempunyai pusat pembuatan dan prototaip di Cyberjaya, makmal inovasi di Bukit Jalil dalam institut R&D utama SIRIM, pusat reka bentuk di Taiping, serta pejabat R&D di Tokyo, Jepun.

DreamEdge kini menggaji lebih daripada 100 jurutera, dan telah dianugerahkan tugas rekabentuk dan kontrak R&D oleh syarikat-syarikat di Jepun, UK, Austria, Brazil, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

“Dreamedge dilantik kerana rekod terhadap prestasi dalam pembangunan teknologi mereka,” Ujar Darell.

Apa yang lebih menarik lagi, projek Kereta Nasional Ketiga ini turut melibatkan Daihatsu Motor Company yang akan memberi sokongan dari sudut teknologi.

Bagaimanapun tiada sebarang perkongsian saham dari syarikat Jepun itu. mereka hanya dilantik sebagai rakan teknologi.

Kenderaan ini akan dibangunkan 100 peratus secara tempatan. Dari permulaan konsep, R&D sehinggalah pengeluaran sebenar.

Tags
Google ads
Back to top button