Buletin

DAIHATSU MULA JUAL MIRA e:S DI JEPUN – HARGA BERMULA RM32,200 

Sebut sahaja nama Mira, mesti ramai yang tersenyum. Model kei-car itu menjadi antara pencetus penting scene modifikasi JDM tanah air. 

Mira sememangnya menjadi model penting Daihatsu, termasuklah di Jepun sejak tahun 1980-an lagi. Kini, Daihatsu telah menukar rekaan luaran dan dalaman yang lebih segar untuk model Mira selepas enam tahun berada di negara matahari terbit itu.

Dikenali sebagai  Mira e:S, Daihatsu sudah membuka tempahan dengan harga bermula 842,200 yen (RM32,200) untuk spesifikasi paling asas, FWD CVT. Manakala gred lebih tinggi iaitu G SA III dengan pacuan semua roda (AWD) pula berharga 1,339,200 yen (RM51,178) seunit.

Mira e:S digerakkan oleh enjin tiga silinder bersesaran 658cc yang mampu menjana kuasa 49hp dan tork 57Nm. Bacaan penggunaan bahan apinya cukup mengagumkan iaitu sekitar 35.2 kilometer bagi setiap liter.

Selain rangkaian kuasa, penjimatan itu dibantu oleh binaan kerangka baharu DNGA yang lebih efisien dan lincah. Kereta kompak itu turut menggunakan khidmat sistem start/stop untuk lebih menjimatkan bahan api. Mira e:S hanya seberat 650kg, 80kg lebih ringan berbanding model sebelumnya

Dari segi luaran, model itu tampil dengan rekaan yang bersegi dan garis badan tajam. Wajahnya diserlahkan menerusi lampu utama rekaan baru dan gril berbentuk trapezoidal. Perubahan pada bahagian belakang pula melibatkan perumah lampu LED tiga dimensi berwarna hitam.

Ruang kabin Mira e:S mengekalkan rekaan ringkas dan ergonomik. Tombol gear diletakkan pada bahagian atas papan pemuka, bersebelahan dengan butang kawalan pendingin hawa. Lebih menarik lagi, kei-kar itu kini hadir dengan sistem keselamatan Smart Assist III yang merangkumi brek serta lampu tinggi automatik untuk varian G dan X.

BACA: DAIHATSU MIRA L500 1993

BACA: PERODUA VIVA MIRA AVY RS

GALERI

Google ads
Back to top button