Buletin

DALAM DUA MINGGU LAGI, BAJAJ AUTO HAMPIR PASTI MILIKI DUCATI

Semalam, dunia digemparkan dengan berita Ducati mungkin akan berpindah milik kepada konglomerat gergasi dua roda dari India, Bajaj Auto. Nampaknya, penguasaan Bajaj menerusi syarikat motosikal Eropah KTM sebanyak 48 peratus memberi peluang cerah kepada mereka untuk mendapat pegangan utama dalam syarikat ikonik Ducati.

Pengumuman dijangka dibuat dalam masa dua minggu lagi. Walaupun spekulasi bulan lepas bertiup kencang tentang kemungkinan Harley-Davidson bakal memiliki saham Ducati, namun ia nampak sedikit berbeza apabila Pengarah Urusan Rajiv Bajaj berucap dalam mesyuarat agung tahunan ke-10 pemegang saham mereka semalam.

BACA: SIAPAKAH BAJAJ AUTO?

“Kita semakin hampir menyelesaikan satu pakatan besar tak lama lagi. Terima kasih kepada pemegang saham yang mempercayai operasi kami. Kerana itu, kami sentiasa ‘menyimpan’ duit sebab bila peluang keemasan datang, kita sudah bersedia,” jelas Rajiv.

Bajaj Pulsar

Untuk rekod, Bajaj mempunyai pegangan tunai sebanyak Rs 13,250 crore (RM8.8 billion).

Tanpa mendedahkan secara spesifik, Bajaj memberitahu logik pembelian syarikat ‘asing’ tersebut. Menurut mereka, KTM sudah memenuhi pasaran motosikal sport, tetapi mereka kurang satu lagi genre motosikal. Mereka perlukan pasaran motosikal sport premium-mewah.

Sejak menguasai KTM, jualan motosikal tersebut melonjak daripada 65,000 unit setahun menjadi 2.5 juta unit (sasaran 2017). Dari keseluruhan unit tersebut, hampir separuh produksi tersebut dikeluarkan dari kilang pemasangan Bajaj di Chakan. Kilang Chakan juga akan menjadi hub pengeluaran Husqvarna – satu lagi jenama motosikal milik Bajaj-KTM.

“Tahun ini, Harley merancang untuk hasilkan 2.4 hingga 2.6 juta motosikal. Kami rasa, dengan sedikit tuah, KTM bakal memintas mereka dan menjadi pengeluar motosikal premium nombor satu di dunia,” kata Rajiv lagi.

Google ads
Back to top button