Pandu Uji

PANDU UJI: DENZA Z9GT. SHOOTING BRAKE TERPADU UNTUK ANDA. LANCAR 15 JULAI 2026!

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, BYD semakin agresif memperluaskan pengaruhnya ke segmen premium. Jika dahulu jenama itu lebih dikenali sebagai pengeluar EV arus perdana, kini melalui sub jenama Denza, ia jelas mahu mencabar dominasi pengeluar Eropah.

Selepas berjaya dengan MPv Denza D9 di pasaran Malaysia, model yang menjadi tumpuan kali ini ialah Denza Z9GT, sebuah grand tourer elektrik yang dibangunkan untuk bersaing dengan model seperti Porsche Taycan Sport Turismo, BMW i5 Touring dan Audi A6 e-tron Avant.

Untuk mengenali jentera tersebut dengan lebih dekat, BYD/Denza Malaysia baru-baru ini telah membawa sekumpulan media ke BYD All-Terrain Circuit di Zhengzhou China. Ini bagi merasai sendiri kemampuan sebenar Z9GT dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang bakal dilancarkan secara rasmi di sini pada 15 Julai depan. 

Sebaik tiba di fasiliti milik BYD itu, jelas ia bukanlah litar ujian biasa. Kompleks ini mempunyai litar berkelajuan tinggi, selekoh teknikal, kawasan gymkhana, pad khas untuk drift, laluan off-road, sand incline dan pelbagai permukaan jalan yang direka bagi mensimulasikan keadaan pemanduan dunia sebenar.

Bagi Denza, Z9GT bukan sekadar model halo. Ia merupakan demonstrasi keupayaan teknologi BYD dalam menghasilkan sebuah grand tourer mewah yang menggabungkan prestasi, keselesaan dan inovasi dalam satu pakej.

Pandangan pertama terhadap Z9GT tidak memberi gambaran bahawa ia sebuah EV berkuasa lebih 1,100 PS. Tiada sirip aerodinamik keterlaluan, tiada spoiler bersaiz besar atau rekaan yang terlalu agresif. Sebaliknya, Denza memilih pendekatan lebih matang dengan menghasilkan sebuah shooting brake yang kelihatan elegan tetapi masih mempunyai karakter sporty.

Dengan panjang melebihi lima meter, Z9GT nampak cukup rendah dan lebar. Garisan bumbung yang melandai ke belakang menjadikannya lebih mirip sebuah wagon prestasi berbanding SUV atau crossover yang kini memenuhi pasaran.

Kemasan luaran juga berada pada tahap premium. Jurang panel kelihatan kemas. Sementara rekaan lampu hadapan dan belakang memberikan identiti tersendiri tanpa perlu meniru mana-mana jenama Eropah.

Masuk ke dalam kabin, perbezaannya ketara berbanding semua model BYD yang pernah saya pandu sebelum ini. Material yang digunakan terasa jauh lebih mewah dengan gabungan kulit lembut, kemasan kayu dan elemen logam. Di hadapan pemandu tersedia paparan digital penuh, manakala skrin infotainmen besar menjadi pusat kawalan utama.

Turut melengkapkan kabin ialah skrin untuk penumpang hadapan, head-up display, sistem audio premium Devialet dengan 20 unit pembesar suara, tempat duduk dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan. Walaupun dipenuhi teknologi, susun atur papan pemuka masih kelihatan kemas dan tidak terlalu sarat.

Posisi pemanduan juga rendah seperti sebuah grand tourer sebenar. Stereng mempunyai julat pelarasan yang luas, manakala tempat duduk memberikan sokongan yang baik ketika pemanduan agresif.

Di atas kertas, angka kuasa Z9GT memang menggerunkan. Varian elektrik yang dipandu uji ini menggunakan konfigurasi tiga motor elektrik yang menghasilkan kuasa mencecah 850kW atau 1,156 PS bersama 1,210 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa sekitar 2.7 saat.

Namun perkara pertama yang mengejutkan kami bukanlah pecutannya. Sebaliknya, betapa mudahnya kereta ini dipandu. Stereng terasa ringan ketika bergerak perlahan tetapi semakin mantap apabila kelajuan meningkat. Walaupun beratnya melebihi dua tan, Z9GT langsung tidak memberikan rasa seperti sedang mengendalikan sebuah EV bersaiz besar.

Pengendalian yang menipu hukum fizik

Litar sejauh 1.52 kilometer ity mempunyai gabungan selekoh laju, selekoh teknikal dan laluan lurus yang cukup untuk menguji kemampuan casis Z9GT. Ketika memasuki selekoh pertama pada kelajuan tinggi (dinasihatkan tidak melebihi 140km/j), perkara paling ketara ialah bagaimana badan kereta kekal stabil walaupun perubahan arah dilakukan dengan pantas.

Sistem suspensi udara DiSus-A bersama kawalan redaman elektronik berjaya mengawal olengan badan dengan sangat baik. Lebih menarik, sistem rear-wheel steering membuatkan kereta sepanjang lebih lima meter ini terasa jauh lebih kecil daripada dimensi sebenarnya. Percaya atau tidak, nisbah pusingannya kecil dah macam Myvi. 

Ketika keluar selekoh dan pendikit ditekan sepenuhnya, kuasa disalurkan dengan sangat progresif. Tiada drama tayar hilang cengkaman atau stereng menarik ke kiri dan kanan. Sebaliknya, sistem e³ Platform mengagihkan kuasa kepada setiap roda secara individu dalam masa beberapa milisaat, membolehkan Z9GT memecut keluar dari selekoh dengan begitu bersih dan meyakinkan.

Inilah antara kelebihan terbesar teknologi tiga motor elektrik yang dibangunkan BYD. Ia bukan sekadar menghasilkan angka kuasa yang besar, tetapi menjadikan kuasa tersebut benar-benar boleh digunakan oleh pemandu. Selepas dua pusingan di litar, ujian ke atas Z9FT diteruskan menerusi beberapa demonstrasi di kemudahan yang sama. 

Drift macam pro

Kalau cakap pasal drift, sekurang-kurangnya kita mesti bayangkan sebuah jentera dengan pacuan roda belakang. Tetapi, Z9GT yang dilengkapi pacuan semua roda, dua motor pada tayar belakang dan mode Drift membuatkan sesiapa sahaja boleh melakukan aksi drift yang kemas  macam Tengku Djan. 

Rahsianya terletak pada e³ Platform, iaitu sistem tiga motor elektrik yang mampu mengawal setiap roda secara individu dalam masa beberapa milisaat.

Berbeza dengan sistem pacuan semua roda konvensional yang bergantung kepada differential mekanikal, setiap motor pada Z9GT boleh menambah atau mengurangkan tork secara bebas mengikut keadaan. Hasilnya, kereta mampu mengekalkan drift yang stabil tanpa hilang kawalan.

Apa yang lebih mengagumkan ialah semuanya berlaku dengan begitu senyap. Tiada bunyi enjin yang bingit atau pertukaran gear yang kasar, hanya bunyi tayar bergesel dengan permukaan litar. Ia memberikan pengalaman yang cukup berbeza berbandong kereta prestasi berenjin pembakaran dalaman.

Gymkhana buktikan kehebatan rear-wheel steering

Jika demonstrasi drift menunjukkan kemampuan sistem pacuan elektriknya, sesi gymkhana pula benar-benar menyerlahkan kelebihan rear-wheel steering. Di atas kertas, Denza Z9GT mempunyai panjang lebih 5.1 meter dan jarak roda melebihi tiga meter. Logiknya, sebuah kereta sebesar ini sepatutnya agak kekok apabila melalui laluan kon yang sempit.

Namun tanggapan itu terus hilang sebaik sahaja saya memandu sendiri melalui laluan gymkhana. Stereng belakang yang mampu membelok sehingga 15 darjah membuatkan bahagian belakang kereta seolah-olah mengikut kehendak pemandu. Ketika memasuki selekoh tajam, saya tidak perlu melakukan banyak pembetulan stereng seperti kebiasaannya apabila memandu sedan atau wagon besar. Sebaliknya, Z9GT terasa hampir seperti sebuah hatchback.

Malah ada beberapa selekoh yang saya yakin mustahil boleh dilalui dengan begitu mudah jika menggunakan kereta sepanjang lima meter tanpa bantuan rear-wheel steering.

Sistem ini bukan sahaja meningkatkan kelincahan pada kelajuan rendah, malah turut membantu kestabilan ketika memotong atau menukar lorong pada kelajuan tinggi. Inilah antara teknologi yang mungkin tidak begitu dihargai ketika membaca spesifikasi, tetapi sangat mudah dirasai apabila memandu.

Compass Turn – berpusing di tempat sendiri

Salah satu demonstrasi yang paling mencuri perhatian media ialah Compass Turn. Teknologi ini membolehkan Z9GT berpusing hampir pada paksinya sendiri dengan mengunci roda tertentu sambil roda yang lain terus berputar. Hasilnya, kereta boleh menukar arah dalam ruang yang jauh lebih kecil berbanding kenderaan biasa.

Melihat demonstrasi tersebut buat kali pertama memang agak mengagumkan. Namun bagi saya, fungsi ini mungkin lebih sesuai digunakan dalam situasi tertentu seperti kawasan parkir yang sempit atau ketika perlu membuat pusingan U di ruang yang terhad.

Ia mungkin bukan fungsi yang digunakan setiap hari, tetapi sekurang-kurangnya menunjukkan sejauh mana kawalan yang dimiliki sistem pacuan tiga motor BYD.

Crab Walk

Selain Compass Turn, BYD turut memperlihatkan fungsi Crab Walk. Melalui teknologi ini, roda hadapan dan belakang akan membelok ke arah yang sama, membolehkan kereta bergerak secara menyerong seperti seekor ketam. Pada mulanya saya menganggap ia sekadar gimik. Namun selepas diterangkan penggunaannya, barulah saya sedar fungsi ini sebenarnya cukup praktikal.

Sebagai contoh, ia memudahkan pemandu keluar dari petak parkir yang sempit, mengelakkan halangan di tepi jalan atau bergerak di kawasan pembinaan tanpa perlu melakukan banyak pembetulan stereng. Ia mungkin bukan sesuatu yang digunakan setiap hari, tetapi apabila diperlukan, ia benar-benar membantu.

Teknologi yang bekerja tanpa disedari

Sepanjang sesi pemanduan, satu perkara yang saya cukup hargai ialah bagaimana semua teknologi ini bekerja di belakang tabir. Tiada rasa sistem elektronik terlalu mengawal pemanduan. Tiada bunyi amaran yang mengganggu. Tiada juga campur tangan yang terasa kasar seperti sesetengah sistem ADAS daripada pengeluar lain.

Sebaliknya, semua sistem hanya membantu apabila diperlukan. Itulah yang membezakan teknologi yang matang dengan teknologi yang sekadar mahu menunjukkan kehadirannya.

Secara keseluruhan, selepas sehari memandu dan menyaksikan pelbagai demonstrasi di BYD All-Terrain Circuit, jelas bahawa Denza Z9GT bukan sekadar EV yang dibina untuk mengejar angka kuasa.

Sebaliknya, ia merupakan demonstrasi keupayaan kejuruteraan BYD dalam menghasilkan sebuah grand tourer moden yang menggabungkan prestasi luar biasa, teknologi pintar dan keselesaan dalam satu pakej.

GALERI

Google ads
Back to top button