Buletin

DAPAT PAMPASAN JUTAAN RINGGIT, SATU KAMPUNG BELI KERETA BAHARU

Penduduk sebuah kampung Tuban, di Surabaya Indonesia yang menerima durian runtuh selepas menjual tanah mereka bertindak membeli kereta baharu beramai-ramai.

Keadaan itu tular di media sosial apabila klip video menunjukkan sebanyak 176 deretan kereta baharu tiba di Kampung Sumurgeneng di daerah Jenu, Tuban.

Detiknews melaporkan, Ketua Kampung Sumurgeneng Gihanto mengesahkan perkara itu dan membenarkan penduduk membeli kereta secara ‘berjemaah’.

Ramai penduduk membeli kereta baharu sebaik menerima wang pampasan tanah untuk pembangunan kilang petroleum milik Pertamina dan Rosneft iaitu syarikat dari Rusia.

Tanah mereka dibayar pada harga 600,000 hingga 800,000 rupiah (RM173 hingga RM230) semeter. Ini membolehkan penduduk yang terlibat mendapat pampasan sekitar 8 bilion rupiah (RM2.3 juta). Malah ada juga penduduk memperoleh 26 bilion rupiah (RM7.5 juta) selepas menjual empat hektar tanah mereka.

Wang pampasan yang diterima penduduk sememangnya sangat lumayan. Sekali gus membuatkan mereka mengambil keputusan membeli kereta untuk kegunaan harian.

Gihanto juga memberitahu bahawa sudah ada ratusan penduduk membeli kereta dengan wang itu. Malah ada di antara mereka yang membeli dua hingga tiga buah kereta baharu.

“Sampai sekarang sudah ada sekitar 176 kereta baharu yang datang, sebelum ini ada 17 kereta baharu,” kata Gihanto ketika dihubungi detikcom.

Terdapat 840 penduduk di Kampung Sumurgeneng. Namun hanya 225 penduduk yang tanahnya diambil oleh kilang berkenaan.

“Ya memang keadaan begini, ada wang terus beli kenderaan. Ada juga sudah beli tanah dan rumah,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button