Buletin

2 WARGA PAKISTAN DITAHAN POLIS, DISYAKI MILIKI KOMPONEN DAN KERETA CURI

Dua orang pekerja bengkel membaiki kenderaan warga Pakistan ditahan polis kerana disyaki memiliki komponen dan kenderaan curi, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, penahanan suspek berusia 30 dan 32 tahun itu susulan laporan polis diterima pada 21 Oktober tahun lalu oleh wanita berusia 51 tahun yang kehilangan kereta Perodua Kancil dipercayai dicuri di hadapan restoran di Bandar Baru Rawang.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Rawang pergi ke sebuah bengkel membaiki kenderaan di Rawang Putra, Rawang, pada 2 petang semalam.

“Polis membuat pemeriksaan di dalam premis dengan disaksikan dua pekerja warganegara Pakistan. Polis kemudian menemui satu enjin kereta dan semakan mendapati enjin itu milik pengadu yang dilaporkan hilang di Rawang pada 21 Oktober tahun lalu.

“Turut dirampas, sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang pada 30 Oktober tahun lalu di Saujana Utama, Sungai Buloh,” kata Arifai.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan suspek direman 14 hari bagi membantu siasatan. – Harian Metro

Google ads
Back to top button