Buletin

DBKL BEKU PERMOHONAN BARU LESEN MINUMAN KERAS SERTA-MERTA

Berikutan masalah pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut kian meningkat sejak kebelakangan ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya telah mengambil langkah proaktif.

DBKL dilapor akan membekukan permohonan baharu lesen minuman keras serta-merta. Dalam satu kenyataan media hari ini, Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL memaklumkan bahawa tindakan akan diambil terhadap premis yang menjual minuman keras tanpa lesen.

“Dimaklumkan bahawa semua permohonan baharu lesen minuman keras adalah dibekukan serta-merta.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti penjualan minuman keras tanpa lesen,” menurut kenyataan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini ada menyatakan pengeluaran lesen baharu penjualan arak wajar dibekukan. Tindakan itu dilihat perlu dilakukan sehingga suatu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

“Dengan berlakunya kejadian pemandu mabuk dan menyebabkan kemalangan, adalah wajar pengeluaran lesen baru menjual arak di bekukan,” katanya menerusi Twitter.

Annuar juga mencadangkan supaya lesen premis pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu diperketatkan.

Semalam, seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang disyaki dipandu oleh lelaki mabuk.

Berdasarkan maklumat awal, dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang dijual oleh isterinya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button