Buletin

REMAJA PEREMPUAN MABUK REMPUH DAN SERET ANGGOTA PGA DI LAHAD DATU

Seorang remajs perempuan yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah merempuh sekatan jalan raya (SJR) lalu melanggar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Muhibbah, dekat Lahad Datu pada jam 12.40 tengah malam tadi.

Rempuhan itu menyebabkan anggota PGA berkenaan parah kerana turut diseret sejauh tujuh meter. Manakala, suspek berusia 18 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian suspek dipercayai baru balik dari rumah rakannya tidak jauh dari SJR berkenaan. Dia  dipercayai memandu laju dan dalam keadaan mabuk.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek tidak dapat mengawal kenderaan lalu merempuh mangsa. 

Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami patah tangan kanan dan cedera di dahi. Beliau terus dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dan sedang menerima rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu laju dalam keadaan mabuk,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini. Nasri turut sempat melawat petugas barisan hadapan berkenaan di hospital.

Remaja itu kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing suspek kemudiannya didapati positif dadah jenis Methamine dan Amphetamine.

“Pemeriksaan tubuh badan suspek turut menemui dadah yang disembunyikan pada poket seluar suspek. Siasatan lanjut mendapati suspek juga tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.

Pihak polis kini sedang giat mengesan rumah rakan suspek itu bagi mengetahui sekiranya terdapat aktiviti yang salah dijalankan.

Siasatan diteruskan mengukut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 26(2) Akta Polis,” kata Nasri lagi. – Harian Metro 

Tags
Google ads
Back to top button