Buletin

PKP TIDAK HALANG PERODUA JUAL 7,886 UNIT KERETA PADA MEI

Perodua berjaya mencatat jualan 7,886 kenderaan pada Mei 2020. Sekali gus menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini (YTD) kepada 52,920 unit. Berdasarkan kepada jumlah keseluruhan industri YTD yang dianggarkan iaitu 129,401 unit, Perodua menguasai 41% bahagian pasaran YTD.

“Situasi COVID-19 yang masih berlangsung memberi kesan yang ketara terhadap jualan kenderaan di Malaysia selama dua bulan.

“Namun kami bersyukur kerana dalam tempoh hanya tiga minggu sejak kami kembali beroperasi di seluruh negara, kami berjaya mendekati angka jualan Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Jualan Mei terdiri daripada 2,612 Myvi, 2,028 Axia, 1,820 Bezza, 950 Aruz dan 476 Alza. Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan dalam bulan Mac sebelum PKP berkuat kuasa pada 18hb Mac.

Dalam waktu penjarakan sosial dan tahap kesedaran kebersihan yang tinggi, pengangkutan persendirian memainkan peranan yang semakin penting. Kenderaan diperlukan untuk perjalanan dekat bagi membeli keperluan rumah.

Pemandu e-hailing juga telah mula menggunakan kenderaan untuk menghantar barang, selain mengangkut penumpang. Kenderaan Perodua amat sesuai untuk tujuan-tujuan tersebut kerana ia kompak, mampu milik, cekap bahan api, boleh dipercayai, luas dan mudah dipandu. 

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas kesetiaan dan sokongan mereka. Kami akan memastikan semua keperluan serta kehendak permotoran anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera. Kami yakin dapat memenuhi permintaan anda dalam masa yang terdekat,” tambahnya.

Sepanjang Jun, kempen Sambutan Bermakna Perodua menawarkan penebusan tunai khas sehingga RM1,300 untuk Aruz dan varian Myvi terpilih. Sementara pembeli model lain akan mendapat e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

“Sila kunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara dan patuhi semua langkah penjagaan yang ditetapkan. Penasihat jualan kami yang sah sedia membantu anda untuk mencari model Perodua yang paling sesuai,” kata Zainal lagi.

Google ads
Back to top button