
PEMANDU MABUK 13 KALI LEBIH BERISIKO SEBABKAN KEMALANGAN – MIROS
Kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan, berbanding dengan pemandu yang bebas daripada pengaruh alkohol.
Menurut statistik oleh Polis Diraja Malaysia pada tahun 2017 dan 2018, seramai 212 dan 191 kes kemalangan jalan raya disahkan positif alkohol. Daripada angka itu, 58 dan 54 kematian yang direkodkan, iaitu sekitar 0.9% daripada keseluruhan statistik kematian jalan raya di Malaysia.
Keprihatinan kerajaan terhadap isu ini telah dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong yang ingin meneliti beberapa seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ini bagi memperketatkan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan keselamatan jalan raya di negara ini dapat dipertingkatkan.

Dalam perkembangan berkaitan, MIROS mengesyorkan agar kerajaan mewajibkan penjual alkohol atau pusat hiburan menyediakan kemudahan pemandu upahan atau ‘designated driver’ sebagai salah satu syarat wajib pelesenan premis perniagaan.
Ia bertujuan mengurangkan risiko kemalangan kepada pemandu dan pengguna jalan raya yang lain. Amalan ini bukan baharu, beberapa negara membangun telah mengguna pakai kaedah tersebut. Antaranya ialah Australia dan Jepun yang menyaksikan kadar kemalangan jalan raya melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol berjaya diturunkan.
Selain itu, jumlah saman sedia ada perlu disemak semula dan dinaikkan kepada satu angka yang jauh lebih tinggi. Ini bagi mendidik pengguna jalan raya terhadap keseriusan kesalahan tersebut yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
MIROS bersama Kementerian Pengangkutan dan semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara adalah sedang membuat penelitian bagi mengatasi masalah ini.
- BACA: REMAJA PEREMPUAN MABUK REMPUH DAN SERET ANGGOTA PGA DI LAHAD DATU
- BACA: INI SEBAB KENAPA PEMANDU MABUK TIDAK DIKENAKAN HUKUMAN GANTUNG SAMPAI MATI
- BACA: PEKERJA KILANG MAUT, ISTERI PARAH DIREMPUH PEMANDU MABUK. APALAH NASIB 5 ORANG ANAK KECIL MEREKA…
- BACA: POLIS CADANG HUKUMAN LEBIH BERAT PADA PEMANDU MABUK