Motosikal

DEMAK BAKAL PERKENAL 4 MOTOR BARU DI INTERMOT JERMAN

Jenama motosikal Demak dijadual memperkenalkan lapan buah motosikal dan kenderaan elektrik pada acara Intermot Motorcycles Show 2016 di Cologne, Jerman yang akan berlangsung bulan depan.

Menurut pengeluar motosikal Demak untuk pasaran tempatan, DNC Asiatic Holdings Sdn. Bhd. motosikal yang akan dipamerkan dan baru dibangunkan itu ialah Sprinter, Dino, Explorer dan Citibiz.

Demak-DZR-120-mekanika

Dino ialah skuter dengan enjin pancitan bahan api bersesaran 50cc yang disasarkan untuk pasaran Eropah. Explorer pula skuter 125cc khas untuk pasaran membangun. Model street 125cc Sprinter tampil dengan ciri-ciri sporty. Manakala CitiBiz merupakan sebuah kenderaan elektrik tiga roda yang dibina bersama penyejuk dikenali sebagai “CitiBiz Chiller”. Semua model ini akan berada di pasaran mulai awal tahun depan.

Bukan itu sahaja, Demak juga bakal mempamerkan model-model sedia ada seperti Evo Z 125R, DVS 110,DZR 120 dan Eco 110

Sejak ditubuhkan pada tahun 2002, Demak terus melabur dari segi reka bentuk dan pembangunan produk. Ini bagi memastikan produknya bukan sahaja lebih bergaya dan menarik, malah menawarkan nilai ekonomi kepada pengguna.

Demak-DVS-110-mekanika

Justeru, Demak kini dilihat bersedia untuk meneroka pasaran global dengan melakukan debut di Intermot 2016.

“Kami mahu dunia, terutamanya Eropah tahu bahawa produk buatan Malaysia adalah kompetitif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif DNC Asiatic Holdings, Gao Rong.

Motosikal Demak kini berada di kedudukan keempat di pasaran Malaysia. Sehingga kini, Demak sudah berjaya menjual 40,000 unit motosikalnya.

sumber: autofreaks.com

Google ads
Back to top button