Buletin

DUA WARGA MYANMAR DITAHAN, SELUDUP 8,000 LITER DIESEL

Dua warga Myanmar, berusia 30-an dan 40-an ditahan dalam serbuan di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena selepas disyaki terbabit menyeleweng 8,000 liter diesel bernilai RM124,200.

Operasi itu dilakukan Unit Risikan/Operasi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Menurut pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini, pihak polis juga merampas dua tangki serta beberapa peralatan pemindahan diesel yang digunakan untuk kegiatan itu.

Affendi berkata, rampasan dianggar bernilai RM124,200 manakala siasatan dilakukan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Soal siasat terhadap mereka mendapati, premis itu tidak mempunyai kebenaran daripada pengawal bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan berkenaan.

“Perintah reman diperoleh dari Mahkamah Alor Setar dan kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.”

Bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua didenda tidak melebihi RM5 juta. – Berita Harian

Google ads
Back to top button