
DODGE CHARGER DAYTONA EV SERBA BAHARU - MAU KE DAK SI DOM TU PAKAI NANTI AGAKNYA?
Peminat filem trilogi Fast Furious pastinya menyedari akan model kereta muscle yang cukup sinonim dengan watak utama Dominic Toretto, Dodge Charge. Daripada Dodge Charger 1970 sehinggalah ke model terkini Dodge Charger SRT Hellcat Redeye Widebody.
Tapi seiring dengan peredaran zaman EV dewasa ini, pengeluar kenderaan dari Amerika Syarikat telah memutuskan untuk mengeluarkan Dodge Charger generasi versi baharu dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya. Tiada lagi deruman enjin yang mengaum serupa harimau lapar.

Dan inilah dia Dodge Charger Daytona serba baharu, sebuah kereta muscle yang menggunakan elektrik sepenuhnya yang pertama di dunia. Model Dodge Charger generasi baharu ini mewakili kenderaan pertama yang mengunakan pelantar STLA Large, serta model sebenar BEV yang sangat fleksibel yang berpotensi membawa kuasa yang cukup ekstrem. Pelbagai modul suspensi dan juga trenkuasa yang boleh digunakan untuk memenuhi objektif prestasi khusus kenderaan.

Menariknya, Dodge turut menyenaraikan dua pilihan kepada Dom, satu dengan dua pintu coupe manakala satu lagi adalah versi dengan empat pintu. Manalah tahu, lepas lepas si Little Brian nak dapat adik ke. Mudahlah sikit Dom nak bawa mereka sekeluarga pergi ke Bazar Ramadhan di sana nanti misalannya.
Varian utama akan memulakan produksi massa pada pertengahan 2024 nanti manakala varian empat pintu yang lebih mesra keluarga kecil pula akan memulakan produksinya pada suku pertama tahun 2025. Keduanya akan diproduksikan melalui kilang pemasangan di Windsor (Ontario) Amerika Syarikat.
Dodge Charge baharu pacuan elektrik sepenuhnya ini dengan pacuan semua roda ini akan digerakkan oleh sistem pendorong 400V yang memberikan prestasi seumpama Supercharged V8 tetapi dengan zero emisi serta mampu memberikan kuasa tujahan yang dengan segera.

Sistem ini menggabungkan pek bateri bervoltan tinggi, modul cas bersepadu dwi dan kedua-dua modul pemacu elektrik (EDM -electric drive module) hadapan dan juga belakang. Setiap satunya berupaya menghasilkan kuasa 335 kuasa kuda dan 406 Nm.
Pek bateri memberikan kapasiti sekitar100.5 kWj dan kadar nyahcas puncak 550 kW yang direka khusus untuk memaksimumkan pecutan dengan membenarkan motor mengekstrak kuasa paling banyak yang boleh dikeluarkan oleh bateri dalam jarak suku batu. Pek baterinya juga direka untuk lebih kurang panas di saat pemandu sedang memecut laju. Malah bateri nickel cobalt aluminum yang digunakan mampu memberikan kuasa yang lebih optimum, seumpama penggunaan bahan api berprestasi tinggi.
Dodge Charge ini juga dilengkapi dengan sistem PowerShot untuk memberikan kuasa tambahan 40 kuasa kuda selama 15 saat yang boleh ditekan pada bahagian bawah sebelah stereng kanan. Untuk memberhentikan tanpa menyebabkan sang pemandu tekan brek sambil berdiri, sistem brek dari Brembo bersaiz 16 inci dengan enam piston di hadapan / empat piston di belakang telah digunakan.
Kalau saiz rotor Brembo pun dah 16 inci tak mungkin rim dan tayar setakat pakai 18 inci kan. Rim dan tayar bersaiz 20 inci daripada Goodyear Eagle F1 Supercar 3 telah dipilih untuk disarungkan supaya lebih kena dengan sebuah kereta muscle.

Bahagian kabin menampilkan sistem infohiburan bersaiz 12.3 inci dan juga skrin paparan meter kluster bersaiz 10.25 inci untuk membantu sang pemandu memantau sistem penting pada kenderaan serta paparan skrin pada bahagian tengah dengan fungsi ketersambungan Apple Car Play / Android Auto.
Kereta muscle serba baharu ini dijangka dijual pada aras harga bermula $50,000 (RM234,250) hingga ke $60,000 (RM281,100).
BACA : DODGE CHARGER DAYTONA SRT CONCEPT – KELAHIRAN MUSCLE CAR DALAM ERA EV
BACA : DODGE TIDAK BERI KELULUSAN GUNA CHARGER UNTUK KEGUNAAN POLIS AUSTRALIA

