Artikel Pilihan

GRAN TURISMO KINI BERUSIA 25 TAHUN – BUDAYA KERETA SEBENAR DALAM DUNIA VIRTUAL

Dua hari lepas bersamaan dengan 23 Disember 2022, genaplah usia 25 tahun permainan kereta paling lejen yang kita kenali dengan nama Gran Turismo. Playstation bukan hanya memperkenalkan kita dengan gaya baharu permainan perlumbaan kereta tetapi mereka juga memperkenalkan budaya kereta Jepun kepada dunia.

Pada tahun 1997, tidak semua rumah memiliki sambungan Internet tetapi koleksi kereta-kereta JDM mampu menjadi milik kita melalui konsol permainan yang ada di dalam rumah.

Gran Turismo ni memang permainan yang hebat tuan-tuan (kecuali kalau korang jenis tak minat kereta dan suka main mekap-mekap). Ia memaparkan 150 model kereta sebenar dalam dunia virtual lengkap dengan logo syarikatnya sekali. Semua tu kena ada kebenaran ataupun lesen.

Bukan itu sahaja, pencipta permainan ini juga menggunakan bunyi ekzos yang sebenar untuk setiap kereta yang dimasukkan ke dalam permainan ini. Bayangkan berapa banyak lesen atau kebenaran mesti diperolehi sebelum permainan ini dihasilkan. Untuk rekod permainan Need for Speed II cuma mempunyai enam lesen untuk kereta-kereta didalamnya.

Ramai yang merasa pengalaman pertama memandu Nissan GT-R dan Subaru WRX STi melalui Gran Turismo termasuklah kami sendiri.

Kalau 150 kereta sudah dirasakan cukup banyak bayangkan pula macam mana Playstation memohon lesen untuk 650 kereta dalam Gran Turismo 2. Melalui GT2 inilah mereka mengembangkan lagi budaya kereta Jepun dari sekecil-kecil Kei Car, kereta-kereta demo tuner shop sehinggalah ke jentera gergasi JGTC.

Bayangkan betapa mendalamnya teori automotif yang diperkenalkan oleh Gran Turismo sehingga kita mampu membezakan karektor kereta pacuan hadapan dan pacuan belakang dengan memandu kereta-kereta dalam permainan ini.

Anda juga akan belajar bagaimana suspensi dan jenis tayar memainkan peranan dalam perlumbaan. Bukan senang tau nak dapat pingat emas dalam semua perlumbaan. Siap kena ambik lesen lagi sebelum berlumba.

Anda juga akan belajar tentang garisan perlumbaan dan imbangan berat sesebuah kereta. Malah permainan ini juga telah berjaya menghasilkan pelumba-pelumba sebenar dengan tercetusnya GT Academy.

Bukan itu sahaja, selepas ini akan muncul pula filem yang diasaskan daripada permainan ini dan dinamakan Gran Turismo. Wajib tengok ni bey.

Google ads
Back to top button