
PANDU LAMBORGHINI HURACAN KURANG 4 JAM, PELANCONG DISAMAN RM194,000 DI DUBAI
Seorang pelancong dari Britain dilaporkan telah disaman sebanyak RM194,000 kerana didapati memandu laju di jalan-jalan yang sibuk di Dubai.
Lelaki yang menyewa sebuah Lamborghini Huracan itu didakwa melanggar had laju sebanyak 33 kali dalam tempoh kurang empat jam. Ada masanya, dia memecut pada kelajuan lebih 240km/j sebelum dikesan oleh kamera perangkap laju di Jalan Sheikh Zayed.
Perangai buruk lelaki dari Newport, South Wales itu menjadi berita utama di Dubai. Lebih drama lagi, dia dikatakan enggan membayar saman tersebut.
Dikenali sebagai Farah Hashi, dia menyewa Huracan itu dari sebuah syarikay sewa kenderaan mewah Saeed Ali Rent. Hashi membayar sewa kereta itu untuk dua hari secara tunai dan meninggalkan pasportnya sebagai jaminan.
Saeed Ali Rent telah dimaklumkan tentang perkara ini. Seorang pekerjanya mengesahkan bahawa Huracan itu ditinggalkan di hotel, tetapi mereka enggan untuk mengambilnya.
Sebabnya dalam kes sebelum ini, Saeed Ali Rent terpaksa membayar saman jika mengambil kereta kerana syarikat perlu bertanggungjawab ke atas kesalahan yang dilakukan oleh pemandunya.
Memandangkan pasportnya masih belum diambil, Hashi nampaknya terpaksa membayar semua saman tersebut sebelum boleh pulang ke negara asal.