Artikel Pilihan

NISMO SEDANG MERANCANG HASILKAN PENGGANTI GT-R – BERKUASA ELEKTRIK!

Dengar khabar Nissan sedang giat bangunkan model pengganti GT-R. Ia berdasarkan satu laporan dari UK yang menyebut berkenaan perkara tersebut. Ia belum mempunyai nama tetapi bakal menjadi model flagship terbaharu Nissan dan semestinya akan menerima sentuhan Nismo.

Ia merupakan langkah yang penting untuk memastikan kuasa Nissan dalam pasaran kereta berprestasi tinggi di Eropah mampu dikekalkan. Mereka tiada pilihan lain kerana peraturan standard emisi di sana memang ketat dan Nissan Z memang mempunyai peluang yang tipis untuk dipasarkan.

Laporan mengenai berita ini dilaporkan oleh Autocar yang berkesempatan menemubual bos Nismo, Takao Katagiri yang menyatakan keistimewaan pasaran Eropah kepada Nismo. Beliau berharap semua pihak dapat bersabar kerana mereka bakal memperkenalkan satu model yang menarik untuk pasaran UK di bawah label Nismo. Demikian jelas beliau kepada wakil Autocar.

Katagiri turut memberi gambaran yang model baharu tersebut akan datang dengan dua versi, hibrid dan EV sepenuhnya. Sudah tentu ia akan diperkenalkan di Jepun dahulu sebelum dipasarkan di Eropah dan Amerika Syarikat.

Laman web tersebut turut memuatkan gambar render yang menggabungkan R32 dan R35 GT-R tapi sudah tentu ia cuma berdasarkan spekulasi dan belum ada sebarang maklumat rasmi dari Nissan sendiri.

Belum ada jangka masa bila model terbaharu ini bakal diperkenalkan. Nissan sebelum ini sudah menyatakan yang dengan prestasi GT-R, bateri seperti digunakan kereta EV masa kini adalah tidak memadai. Mereka memerlukan solid state bateri dan menurut beberapa sumber dari Nissan teknologi bateri baharu tersebut akan memakan masa sehingga sepuluh tahun untuk dipasarkan kepada umum.

Perkembangan ini agak menarik untuk diikuti dan nampaknya GT-R generasi sekarang akan kekal untuk satu jangka masa lagi. Kami pun rasa Nissan belum cukup bersedia untuk menukar GT-R kepada model EV sebenar. Bayangkan Godzilla tanpa bunyi ekzos.

Sama-sama kita tunggu macam mana hasilnya nanti.

Kredit kepada japanesenostalgiccar.com dan foto oleh Ben Hsu

Google ads
Back to top button