Buletin

BELANJAWAN 2020: KERAJAAN BAKAL SEDIAKAN 500 BAS ELEKTRIK DENGAN KOS RM450 JUTA

Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ada menyentuh beberapa aspek berkaitan pengangkutan.

Di bawah Strategi 10: Meningkatkan Ekosistem Pengangkutan, Kerajaan komited untuk meningkatkan mobiliti rakyat dengan mengurangkan kos serta menambah baik infrastruktur pengangkutan.

Pada Januari 2019, Kerajaan telah memperkenalkan pas bulanan tanpa had My50 dan My100 untuk semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL. Skim ini telah memberi manfaat kepada lebih 120,000 pengguna pengangkutan awam.

Kerajaan juga telah melancarkan Pas Mutiara di Pulau Pinang yang menyediakan perjalanan tanpa had selama sebulan dengan harga RM50 bagi perkhidmatan Rapid Bus dan Rapid Ferry.

Bagi membuktikan komitmen Kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau, Kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar-bandar terpilih seluruh negara.

Untuk kemudahan penduduk luar bandar pula, Kerajaan akan terus menyokong sambungan last-mile di kawasan luar bandar dan bandar dengan memberi subsidi kepada pengusaha bas dengan peruntukan sebanyak RM146 juta pada tahun 2020.

Google ads
Back to top button