Buletin

DUCATI RAIKAN KEJUARAAN 2023 DENGAN PANIGALE V4 EDISI TERHAD

Sempena kejayaan Ducati di Kejuaraan Dunia MotoGP dan WorldSBK, Ducati telah menghasilkan lima model Ducati Panigale edisi terhad. 

Lima model Panigale berkenaan akan hadir dengan livery dan grafik yang diinspirasikan dari jentera MotoGP dan WorldSBK yang diguna pakai Francesco Bagnaia, Alvaro Bautista, Nicolo Bulega, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi. 

Menurut Ducati, daripada lima Panigale tersebut, tiga daripadanya adalah Panigale V4, sebuah Panigale V4 R manakal sebuah lagi merupakan Panigale V2 dengan kesemuanya hanya akan dihasilkan dalam jumlah terhad dan hadir dengan tandatangan pelumba Ducati. 

Lebih menarik, setiap pembelian juga akan disertakan dengan beberapa kelengkapan teknikal. 

Untuk rekod, tiga Panigale V4 hadir dengan livery yang meraikan kejayaan jentera Desmosedici GP milik Bagnaia (63), Martin (89) dan Bezzecchi (72) di MotoGP. 

Sementara itu, sebagai penghargaan kepada kejayaan di WorldSBK, sebuah Panigale V4 R hadir dengan livery khas milik Bautista (19). Akhir sekali, sebuah Panigale V2 hadir dengan livery perlumbaan milik Bulega (11) yang muncul juara di WorldSSP tahun ini. 

Kesemua Panigale V4 adalah dari model V4 S dan akan dilengkapi dengan ‘dry clutch’ 9-cakera STM-EVO SBK serta ekzos Akrapovic. Pakej brek pula terdiri dari brek Brembo Stylema R dan Brembo MCS (master cylinder). Kelengkapan lain terdiri daripada jenama Rizoma. 

Panigale V2 edisi Bulega pula dipertingkat dengan suspensi Öhlins dan ekzos Akrapovic. 

Kesemua model akan mula diserahkan kepada pelanggan sekitar Julai 2024. Namun tidak dapat dipastikan sama ada Malaysia akan turut menerima model edisi terhad ini. 

GALERI

Google ads
Back to top button