TIGA TAHUN, ITULAH MASA YANG DIAMBIL MICHELIN UNTUK HASILKAN TAYAR AMG GT – LAMA YAKMAT
Bagi golongan yang menganggap kereta sebagai alat untuk ke titik A dari titik B mungkin tayar ni tak penting sangat. Sebab itulah bila tiba masa untuk tukar tayar mereka akan sebat apa saja tayar yang murah janji sama saiz. Bila kawalan ke laut, mula la nak salahkan jalan dan macam-macam faktor lain.
Sebenarnya kebanyakan pengeluar kereta telah lama bekerjasama dengan syarikat pengeluar tayar untuk menghasilkan tayar yang bersesuaian dengan karektor kereta mereka. Baik dari segi suspensi, sistem stereng dan brek. Kompaun ataupun gabungan material yang sesuai mesti digunakan dan ia memerlukan proses R&D yang bukannya memakan masa sehari dua.
Saluran Youtube Tyre Review telah menghasilkan video lawatan mereka ke tapak ujian Michelin di Ladoux, Perancis untuk melihat sendiri macam mana tayar Michelin Pilot Sport S 5 dihasilkan khusus untuk Mercedes-AMG GT. Walaupun mempunyai nama yang sama dengan Sport S 5 yang biasa dilihat di kedai tayar, versi AMG menggunakan kompaun yang berbeza.
Tayar khas AMG ini menggunakan tiga kompaun yang berbeza yang menghasilkan bunga cengkaman yang berbeza-beza. Pada tayar hadapan, bahagian paling dalam untuk cengkaman dalam keadaan basah, bahagian tengah untuk keadaan kering dan bahagian paling luar lebih sesuai untuk memecut di litar.
Untuk tayar belaknag pula, terdapat dua bahagian untuk keadaan basah dan bahagian tengah pula untuk cuaca kering. Bahagian luar biasalah, untuk pemanduan berprestasi tinggi ketika cuaca kering.
Michelin bukan hasilkan tayar ini dalam setahun dua tapi ianya memakan masa tiga tahun. 25 kompaun berbeza diuji untuk tayar hadapan dan 20 jenis kompaun untuk tayar belakang. Kesemua itu dilakukan hanya untuk sebuah kereta sahaja!
Aspek paling sukar dalam penghasilan tayar ini ialah untuk mendapatan keseimbangan antara kawalan dalam keadaan kering dan basah. Mercedes mahukan tayar yang mampu beraksi dalam kedua-dua senario tanpa kompromi jadi Michelin terpaksa melakukan ujian demi ujian untuk mendapatkan padanan kompaun yang paling sempurna.
Kesemua ujian tersebut dilakukan semasa AMG GT masih dalam pembangunan. Gila kan? Kereta pun belum siap lagi masa tu tapi pembangunan tayar dilakukan secara serentak.
Dapat kat orang kita yang beli terpakai bila tayar dah haus terus ganti dengan tayar Linglong atau tingtong sebab nak harga murah. Pandu masa hujan terus ke laut dalam.