Buletin

SYARIKAT CHINA DISIASAT – DIDAKWA JUAL TAYAR TIDAK MENEPATI STANDARD DI THAILAND

Sebuah syarikat pengeluar tayar dari China kini disiasat pihak berkuasa Thailand berhubung dakwaan menyeludup tayar tidak menepati standard keselamatan ke negara itu sebelum diubah suai dan dilabel semula sebagai produk baharu untuk tujuan eksport.

Siasatan itu diketuai oleh Kementerian Industri Thailand susulan maklumat yang diterima mengenai aktiviti haram syarikat berkenaan, termasuk menyeludup tayar cacat dari China, menanggalkan logo asal dan mencetak semula jenama baru sebelum dijual sebagai tayar buatan Thailand.

Menurut sumber, syarikat tersebut telah menerima keistimewaan pelaburan untuk menghasilkan tayar kenderaan di Thailand menggunakan bahan mentah yang diimport dari China.

Bagaimanapun, tenaga kerja syarikat itu dipercayai terdiri sepenuhnya daripada pekerja warga China.

Sumber itu turut mendedahkan bahawa tayar-tayar tersebut dibawa masuk ke Thailand adalah tayar yang gagal melepasi piawaian keselamatan dan kualiti.

Apa yang lebih membimbangkan, sebahagian besar tayar terbabit telah dilabel sebagai “Dibuat di Thailand” dan disasarkan untuk pasaran eksport.

Sebagai langkah susulan, satu pasukan pemeriksa telah dihantar ke kilang syarikat terbabit untuk melakukan siasatan lanjut.

Hasil pemeriksaan mendapati tayar-tayar yang diubah suai itu disimpan bersama tayar tempatan yang dilabel “untuk eksport sahaja”.

Pihak kementerian kini menunggu penjelasan rasmi daripada syarikat berkenaan. Sementara itu, laporan penuh siasatan akan diserahkan kepada Menteri Industri, Akanat Promphan, yang akan menentukan tindakan selanjutnya.

Nama syarikat terbabit masih belum didedahkan kerana siasatan sedang berjalan.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemain industri tayar tempatan dan antarabangsa, terutamanya berkaitan integriti label “Made in Thailand” yang selama ini menjadi simbol kualiti dalam sektor pengeluaran tayar global.

Google ads
Back to top button