Buletin

EAST COAST RALLYING SASAR PERBAIKI REKOD DI KBS RALLY SPRINT 2024

Setelah sekadar menempatkan di dalam kelompok 10 terbaik pasukan lumba rali Rally Sprint musim lalu, kini pasukan East Coast Rallying yang berpangkalan dari Kuala Terengganu kembali membuka tirai musim 2024 untuk menyasarkan podium sekaligus memperbaiki rekod pencapaian lalu.

Persediaan rapi pasukan yang lebih baik berbanding musim lalu bersama jentera Honda Jazz GE yang ditala sepenuhnya oleh R&R Sports Speed Garage selaku rakan teknikal pada musim ini dilihat menjadi taruhan terbaik untuk mewarnai siri jelajah kejuaraan rali pada sepanjang tahun ini.

Hadir selaku bukan pasukan pilihan kejuaraan namun East Coast Rallying yang dipacu oleh anak jati Kuala Terengganu Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama bersama Juruarah Amir Izham dari Kota Bharu meletakkan perlumbaan ini sebagai misi penting musim ini untuk memperbaiki rekod berbanding penampilan pertama mereka di Rally Sprint pada tahun lalu.

Pada kejuaraan musim lalu, East Coast Rally terpaksa akur untuk berada di tempat ke-10 keseluruhan bagi kategori P10 setelah masalah teknikal timbul seawal pusingan pertama perlumbaan yang diadakan pada waktu malam sekaligus merencatkan catatan masa buat pasukan bagi dua hari perlumbaan ketika itu.

“Bagi musim baharu perlumbaan bagi tahun 2024 ini kami meletakkan sasaran untuk pasukan kembali mencipta penanda aras baharu buat East Coast Rallying setelah sekian lama kemarau untuk menaiki podium di mana kali terakhir kami menaiki podium pada tahun 2018 di Kejuaraan Rali Terengganu ketika itu.”

“Untuk perlumbaan pertama kami bagi tahun ini juga di kejuaraan perlumbaan KBS Rally Sprint kami meletakkan misi penting untuk memperbaiki rekod pencapaian dengan catatan masa yang lebih baik berbanding musim lalu yang juga penyertaan pertama kami di perlumbaan litar berturap. Pada musim ini juga East Coast Rallying menaruh kepercayaan pada jentera Honda Jazz GE yang ditala sepenuhnya oleh R&R Sports Speed Garage selaku rakan teknikal pada musim ini.”

“Juga pada tahun ini kami menyasarkan sekurang-kurangannya 6 perlumbaan rali untuk disertai di mana empat perlumbaan tersebut adalah siri jelajah Kejuaraan Rali Antarabangsa Malaysia 2024 (MIRC 2024) yang dijangka selepas Aidilfitri nanti.”, ujar ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang telah berkecimpung dalam perlumbaan rali sejak 2017 dan pernah dinobatkan juara pada tahun 2013 selaku juara keseluruhan Kejuaraan Rali Malaysia (Kategori Junior) 2012 bersama Azmeer Yusri Yusof.

“Ini perlumbaan kedua buat East Coast Rallying untuk berlumba di atas litar berturap sepenuhnya berbanding sebelum ini di mana kami hanya beraksi di litar yang dibina di dalam kawasan ladang tanaman. Secara teknikal cabaran perlumbaan ini hampir sama atau tetap sama sahaja namun dari aspek taktikal buat pasukan ianya bukan cabaran mudah di mana setiap saat menjadi taruhan. Kami juga berharap keadaan cuaca menyebelahi kami untuk memburu kejuaraan.”, berkata pemandu arah pasukan Amir Izham yang juga merupakan pengasas bersama pasukan East Coast Rallying yang ditubuhkan pada 2017. Amir Izham juga merupakan seorang jurulatih sukan selam skuba bertauliah PADI turut pernah dinobatkan juara keseluruhan Kejuaraan Rali Malaysia (Kategori Junior) 2012 bersama pelumba Dinie Nazmi Abd Rahman.

Untuk rekod pada musim lalu di pentas Rally Sprint, East Coast Rallying menamatkan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 37 minit 42 saat setelah mengharungi 3 perlumbaan(Leg) litar berturap meliputi 9 peringkat cabaran(SS) bagi jarak keseluruhan sejauh 24.43km.

KBS Rally Sprint bagi musim ini dijadualkan untuk membuka tirai pada hujung minggu ini bertempat di MAEPS, Serdang mempertaruhkan 8 peringkat cabaran(SS) dengan jarak keseluruhan sejauh 24.43km bagi 8 kategori yang dipertandingkan.

Menurut Pengarah perlumbaan KBS Rally Sprint, Roduwan Rashid pendekatan ini diambil sebagai usaha untuk merapatkan jurang serta memberi peluang di antara peminat sukan permotoran tempatan untuk hadir sebagai pelumba tanpa perlu memiliki sebuah pasukan lumba secara profesional.

Menambah menarik, peraturan perlumbaan bagi setiap jentera lumba kategori ‘Rookie Cup’ itu secara tidak langsung memberi peluang sama rata buat setiap pelumba amatur walaupun hadir berlumba dengan kenderaan kegunaan harian mereka. Setiap pelumba amatur ini juga turut dilindungi insurans sekaligus memberi tambah nilai terbaik buat setiap peserta.

Perlumbaan yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan(KBS) serta mendapat pengiktirafan oleh badan induk sukan permotoran tanah air(MAM) ini turut mempertaruhkan kategori utama yang menjadi tumpuan pelumba-pelumba profesional tempatan dan antarabangsa sekaligus mengangkat prestij penganjuran.

BACA : KBS RALLY SPRINT 2024 RD1 – AJOOOOM SEMUANYA KITA KE MAEPS

BACA : PASUKAN RALI TERENGGANU SAH SERTAI RALLY SPRINT 2023

Google ads

B K

Back to top button