
EASTCOAST RALLYING BERSEDIA DENGAN JENTERA BAHARU UNTUK RALLY OF ASAHAN
Perlumbaan rali Millenium Iconic Rally Championship (MIRC) Rally of Asahan hujung minggu ini akan menyaksikan pasukan East Coast Rallying yang berpangkalan di Kuala Terengganu akan turut mengambil bahagian sebagai perlumbaan rali penutup tirai untuk musim ini.
East Coast Rallying yang dipacu oleh oleh anak jati Kuala Terengganu Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama bersama Juruarah Amir Izham dari Kota Bharu akan berkelana ke Asahan Melaka untuk kembali beraksi dalam perlumbaan rali membabitkan permukaan gravel buat pertama kali setelah beberapa tahun MRC hilang dalam kalendar perlumbaan rali.
Sungguh pun demikian, pasangan Syakirin dan Amir sebetulnya turut aktif menyertai siri perlumbaan Rally Sprint yang dianjurkan di Ibu Kota saban waktu sebelum ini dengan memandu jentera Honda Jazz GE yang ditala khas oleh R&R Sports Speed Garage.

Akan tetapi untuk aksi di Rally of Asahan, Syakirin akan membuat debut bersama jentera baharu, Subaru Impreza, sebuah jentera rali yang dilihat lebih moden dan berkuasa untuk meratah setiap selekoh ladang Kelapa Sawit yang terdapat di Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh dengan lebih cepat.
.Menurut Syakirin, beliau memilih Subaru Impreza sebagai jentera baharu untuk beraksi atas maklum balas yang diberikan oleh rakan penaja yang mahukan jentera yang lebih moden dan mampu menarik perhatian berbanding sekiranya beliau masih lagi kekal menggunakan Proton Satria.
Paling penting, menurut Syakirin lagi walau pun harga pasaran terpakai untuk Impreza dan Evo mungkin tidak jauh beza sangat namun faktor untuk mendapatkan perkakasan alat ganti dengan harga yang lebih munasabah sudah tentu menjadi milik Subaru Impreza ini. Harga alat ganti untuk Evo masih keras lagi oi!
Sehingga kini, Subaru Impreza yang akan dilayangkan dengan warna Merah dan bukannya warna Biru Impreza seperti kelaziman, hanya membabitkan proses pembinaan semula untuk enjin, turbin dan juga stock management sebagai bekalan untuk beraksi di Melaka nanti.

Penggunaan sistem brake hydraulic juga telah dipasang bagi memastikan sideways dapat diambil dengan lebih handal lagi. Baru sedap sikit nak belanja penonton kan? Sistem suspensi daripada FTuned 3 Way Rally Suspension juga telah dipasang untuk mendapatkan talaan yang lebih padu ketika mengambil selekoh.
Syakirin juga merakamkan terima kasih kepada rakan strategik dan penaja yang telah bersama East Coast Rallying untuk memastikan mereka sentiasa berada dalam dunia rali tempatan. Senarai penaja East Coast Rallying – Terrexa, Impressive Logging, R&R Sport Speed Garage, PenyuSukan dan Perotography.
BACA : EAST COAST RALLYING RAIH PODIUM BERGANDA DI KBS RALLY SPRINT 2024
BACA : EAST COAST RALLYING SASAR PERBAIKI REKOD DI KBS RALLY SPRINT 2024