
TM, PERODUA JALIN KERJASAMA MAJUKAN PEMBANGUNAN EV, INOVASI DIGITAL
Telekom Malaysia (TM) telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Perodua untuk memajukan pembangunan kenderaan elektrik (EV), inovasi digital, dan pertumbuhan lestari.
Usaha ini sejajar dengan visi Malaysia untuk mewujudkan sektor automotif bernilai tinggi dan berdaya saing di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
TM, melalui cabang perniagaan TM One yang memberi fokus kepada sektor perusahaan serta kerajaan, berhasrat menaik taraf infrastruktur Perodua dengan menyediakan sambungan tetap dan tanpa wayar.
Ini termasuk penyelesaian SD-WAN untuk rangkaian pengedar, rangkaian 5G persendirian untuk aplikasi automotif, dan teknologi pembuatan pintar bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.

Kerjasama ini akan memperkukuh keupayaan operasi Perodua dengan memperkemaskan pengurusan data dan menyokong perkembangan masa hadapan syarikat.
TM One juga akan memanfaatkan kepakarannya dalam bidang Cloud, Keselamatan Siber, Analitik Data, dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyediakan inisiatif seperti pembuatan pintar, GPU sebagai Perkhidmatan, serta teknologi EV dan pemanduan tanpa pemandu.
Selain itu, TM dan Perodua akan bekerjasama untuk memperluas capaian pasaran dan meningkatkan keterlihatan jenama melalui strategi inovatif seperti sistem infotainmen khusus, penyelesaian pemetaan pintar, termasuk pemasaran bersama menggunakan alat digital untuk menarik segmen pelanggan baharu.
Kedua-dua syarikat ini juga komited terhadap kelestarian alam sekitar dengan bekerjasama dalam penyelesaian tenaga bersih untuk infrastruktur pengecasan EV dan pengurangan sisa.
Latihan tenaga kerja, R&D, dan amalan lestari yang dirancang dalam kerjasama ini akan membantu membentuk budaya inovasi ke arah masa depan automotif Malaysia lebih berdaya digital dan mesra alam.