ELETRE – SUV ELEKTRIK PERTAMA DARIPADA LOTUS
Lotus meneruskan tradisi penamaan model menggunakan awalan huruf E pada SUV terbaharunya – Lotus Eletre.
Lotus Eletre bakal diperkenalkan secara rasmi pada tanggal 29 Mac 2022 jam 7.30 malam waktu London.
Tidak seperti model-model Lotus yang lain, Lotus Eletre bakal dipasang buat kali pertama di kilang baharu yang terletak di Wuhan, China, dan turut merangkap model produksi EV yang pertama memandangkan hypercar Evija hanya dipasang sebanyak 130 unit sahaja.
SUV dengan kod nama Type 132 itu dibangunkan atas platform EV modular dengan sistem elektrik 800 voltan, pek bateri berkapasiti 92-120 kWh, dengan prestasi 0-100 km/j di dalam tempoh tiga saat.
Memandangkan sifatnya sebagai sebuah SUV elektrik, usah berharap Eletre akan menjadi model yang ringan seperti Lotus terdahulu. Ini kerana model hypercar Evija sahaja sudah pun seberat 1,680 kg.
Dalam tempoh dua tahun akan datang, Lotus Eletre bakal disusuli dengan model coupe empat pintu, diikuti dengan crossover yang lebih kecil, di mana kesemua model ini merupakan EV sepenuhnya selepas Emira diisytiharkan sebagai model berenjin pembakaran dalaman terakhir jenama itu.