Artikel Pilihan

ENKEI DISH II SUNTIK ELEMEN RETRO UNTUK MODEL BAHARU – NOSTALGIA BETUL NI

Rim Enkei Dish asal merupakan sport rim rekaan klasik khas untuk kegunaan kereta-kereta keluaran Jepun. Ia mula dikeluarkan seawal tahun 1968 dan banyak kali diberi sentuhan baharu kemudiannya. Terbaru Enkei umumkan mereka akan keluarkan lagi rim model sama tapi kini dinamakan Enkei Dish II.

Asalnya Enkei Dish ni digemari ramai kerana ia menambah imej gaya Amerika pada kereta-kereta satu ketika dahulu. Enkei kemudian menghasilkan beberapa varian selepas berkolaborasi dengan beberapa badan automotif.

Pada tahun 2004 contohnya mereka menghasilkan varian rim yang bersesuaian dengan VW dengan enjin sejukan udara dan juga Porsche 356. Kemudian pada tahun 2008 mereka menghasilkan pula varian lain khusus untuk Toyota Crown dan model klasik lima lubang Mooneyes yang eksklusif. Enkei juga turut menghasilkan rim ini untuk kegunaan kei-car.

Edisi terbaru ini bagaimanapun hanya datang dalam satu saiz sahaja, 15x6J+30. Ia mempunyai enam lubang kerana direka khas untuk kegunaan Toyota HiAce dan Nissan Caravan. Kenapa hanya untuk van sahaja dan bukan untuk kereta pilihan ramai rakyat Malaysia?

Jawapannya ialah kerana dunia modifikasi van berkotak ni sangat besar di Jepun dan rekaan Mooneyes ni memang sangat popular kat sana. Hanya dua pilihan warna di tawarkan iaitu Machined Silver dan Machined Black. Sebenarnya rim ni tak diwarnakan pun kecuali pada bahagian tepi belah dalam. Ia kemudian disudahi dengan penutup rim dengan corak logo klasik Enkei.

Best jugak kan kalau sekali sekala dapat lihat rim rekaan klasik macam ni. Tak ada la asyik tengok rim rekaan moden yang kadang kala macam entah apa-apa.

Google ads
Back to top button