
GAGAL DAPAT SUBSIDI KERAJAAN, SYARIKAT EV BANKRAP.
Beberapa tahun lalu, dunia automotif dilanda demam baharu dimana semua orang mahu menjadi Tesla seterusnya. Setiap minggu, muncul jenama baharu menjanjikan masa depan bebas asap karbon, rekaan futuristik, skrin sebesar TV 50 inci, dan menjanjikan 1,000 km jarak satu pengecasan penuh.
Tetapi realitinya, dunia kereta elektrik bukan sekadar papan litar dan pelabur Silicon Valley dan Shenzen. Kos pembangunan, rantaian bekalan, dan psikologi pasaran akhirnya menjadi gelombang besar yang berubah menjadi tsunami dan menenggelamkan ramai pemain.
Berikut ialah 10 syarikat EV dari China, Amerika Syarikat dan Eropah yang akhirnya tersadai di tepi jalan revolusi elektrik dengan setiap satu syarikat berakhir dengan impian, pelaburan, dan kejatuhan.
China – Impian Besar, Kejatuhan Lebih Besar
China ialah pusat kepada kebangkitan EV dunia tetapi pada masa sama juga menjadi kubur paling banyak syarikat startup yang gagal. Sejak 2018, lebih daripada 400 jenama EV dilaporkan tutup atau muflis. Di atas kertas, peluang mereka nampak besar. Tetapi apabila subsidi kerajaan mula dikurangkan dan pasaran dikuasai gergasi seperti BYD dan Geely, banyak syarika tidak mampu bertahan.
1. Qiantu Motor
Dilancarkan dengan penuh gaya pada 2018, Qiantu mahu menjadi “Tesla versi China” dengan sportscar elektrik K50. Rekaan EV ini menarik, lengkap dengan prestasi laju tetapi masalahnya ialah harga terlalu tinggi dan pengeluaran terlalu kecil. Akhirnya, syarikat dibubarkan pada 2025 dengan hutang berbilion yuan.

2. Byton
Satu masa dulu, Byton ialah bintang harapan EV China dengan ibu pejabat di Nanjing dan pusat reka bentuk di Munich. Model seperti M-Byte dan K-Byte sepatutnya jadi simbol kemajuan, siap dengan skrin sepanjang papan pemuka. Tapi masalah Covid-19, masalah pembiayaan dan pergolakan dalaman syarikat membunuh impian itu. Byton bankrap pada 2021 sebelum sempat menjual satu pun kereta kepada orang ramai.
3. WM Motor (Weltmeister)
Ditubuhkan oleh bekas eksekutif Volvo China, WM Motor awalnya kelihatan stabil tetapi kejatuhan pasaran EV bajet dan isu bekalan cip selepas COVID-19 menyebabkan jualan merosot teruk. Pada 2023, syarikat ini memulakan proses penstrukturan semula selepas gagal bayar hutang kepada pembekal.
4. Hozon Auto (NETA)
Jenama yang pernah dianggap bintang baru naik, dengan model mampu milik NETA V dan S, kini menjadi contoh klasik bagaimana beban hutang tinggi berupaya membunuh inovasi. Pada pertengahan 2025, Hozon diseret ke mahkamah dengan liabiliti lebih CNY 10 bilion.

5. Zedriv
Zedriv (Guoji Zhijun Automotive) ditubuhkan sekitar 2017 di bandar Ganzhou, wilayah Jiangxi,dengan matlamat menjadi pengeluar EV kompak yang mampu milik. Ia bukan sekadar jenama rekaan, tapi disokong oleh pelabur tempatan yang juga terlibat dalam industri tenaga baharu dan logam REE, dua sektor penting dalam dunia bateri.
Zedriv pernah cuba menembusi pasaran Eropah dengan crossover GX5, tapi gagal mendapat pembiayaan tambahan selepas pelabur utama menarik diri. Pada 2023, syarikat inimemohon perlindungan kebankrapan.
6. Niutron
Diasaskan oleh bekas pengasas bersama NIO, Yan Li yang pernah bekerja di Tesla dan Nio. Niutron kelihatan menjanjikan 100,000 unit setahun tetapi hanya sempat mempamerkan prototaip NV SUV sebelum operasi diberhentikan.
Masalah utama ialah Niutron bergantung lesen pengeluaran dengan syarikat Hozon (Neta) yang menyebabkan kekeliruan, terlalu bergantung pada pembekal luar dan menanggung kos yang tinggi. Tanpa pelabur baru dan tanpa produk, jenama ini ‘mati’ sebelum sempat lahir.
7. Singulato Motors
Ditubuhkan sekitar pada tahun 2014 di Beijing, ketika gelombang awal startup EV China mula melonjak. Pengasasnya ialah Shen Haiyin, bekas CEO sebuah syarikat teknologi Internet dan bekas eksekutif Lenovo. Falsafah awal Singula cukup menarik iaitu mencipta EV dengan penekanan pada AI, data cloud dan teknologi pemanduan autonomi.

Seperti banyak startup EV lain di China, Singula terlalu bergantung pada pelaburan luar dan subsidi kerajaan. Tapi selepas 2019, kerajaan China mula memotong insentif EV, sementara pelabur swasta kehilangan keyakinan terhadap startup baharu.
Syarikat ini hilang tunai USD 500 juta, kilang tidak siap di Hunan, gagal mendapat lesen pengeluaran dari kerajaan dan gagal membayar gaji pekerja. Hanya 500 unit iS6 yang berjaya dihasilkan
8. Youxia Motors
Ditubuhkan pada 2014 oleh Huang Xiuyuan, seorang jurutera muda yang masa tu baru berusia 26 tahun. Beliau bukan tokoh automotif, tapi bekas pembangun perisian dan peminat tegar Tesla. Pernah tular dengan kereta konsep Youxia X yang mirip Tesla Model S, tetapi projek itu terbukti sekadar mimpi.
Walaupun pernah popular pada tahun 2015 dengan model Youxia X, syarikat ini gagal mendapat lesen, kehabisan dana, kegagalan rekabentuk dan Tiada pengalaman industri automotif sebenar. Pada 2019 masa depan syarikat ini gelap. Akhirnya pada 2024, mahkamah membekukan aset syarikat dan memerintahkan likuidasi penuh.

9. Fisker Inc. – Amerika
Fisker pernah cuba dua kali dalam arena EV, pertama kali pada 2013 (Fisker Automotive), dan kali kedua melalui Fisker Inc. yang melancarkan SUV elektrik Ocean. Tetapi kegagalan pengeluaran, masalah software dan jualan yang rendah menyebabkan syarikat ini memfailkan Chapter 11 pada pertengahan 2024. Ironinya, nama “Ocean” akhirnya tenggelam dalam gelombang persaingan.
10. Nikola Corporation – Amerika
Satu ketika dulu, Nikola dijulang sebagai “Tesla versi lori.” Tapi selepas pendedahan penipuan oleh pengasas Trevor Milton (video trak kononnya bergerak, tapi sebenarnya meluncur di jalan menurun), kepercayaan pelabur hilang serta-merta. Syarikat bertahan beberapa tahun dengan model hidrogen, namun pada 2025 akhirnya menyerah, memfailkan kebankrapan dan menjual aset.
11. Next.e.GO Mobile SE -Jerman
Dilahirkan di Aachen, Jerman, e.GO Mobile mencuba pendekatan “urban EV” iaitu kereta kecil elektrik untuk bandar-bandar Eropah. Ia idea baik, tapi kos pengeluaran tinggi dan pasaran kecil menyebabkan mereka muflis dua kali dankali terakhir pada 2024. Kali ini tiada pelabur sanggup menyelamatkan operasi mere
Kes e.GO menunjukkan sisi lain dunia EV dimana bukan semua pengguna Eropah sanggup bayar mahal untuk kereta elektrik kecil yang jaraknya pendek, sedangkan gergasi seperti Volkswagen dan Stellantis sudah menawarkan alternatif yang lebih mantap.
EV Bukan Dunia Tanpa Risiko
Revolusi elektrik ini mengajar kita sesuatu yang pahit tapi nyata iaitu teknologi tinggi tidak menjamin kelangsungan hidup. Dalam dunia EV, tiga faktor menjadi penentu utama:
1. Rantaian bekalan bateri dan cip. Syarikat kecil tidak mampu bersaing dengan kos gergasi seperti BYD atau Tesla yang memiliki skala ekonomi yang lebih besar
2. Sokongan kerajaan dan pelabur. Apabila dana atau subsidi tamat, hanya jenama dengan asas kukuh yang terus bertahan.
3. Skala pengeluaran. Untuk untung, pengeluar perlu jual ratusan ribu unit, bukan ribuan.
Kini, landskap EV global semakin mengecil dimana hanya syarikat yang benar-benar berdaya tahan seperti Tesla, BYD, Geely, dan Hyundai masih mendominasi.Tetapi jangan terkejut kerana sejarah automotif sentiasa berulang. Hari ini yang gagal mungkin kembali dengan nama baharu, teknologi baharu, dan semangat lama yang diperbaharui.