Motosikal

CFMOTO 450 MT LANCAR DI AS, BAKAL MASUK MALAYSIA

CFMOTO dengan rasminya memperkenalkan motosikal terbaru bagi tahun 2024 kali ini menerusi CFMOTO 450 MT, baru-baru ini.

Motosikal segmen ‘dual-purpose’ itu menembusi pasaran Amerika Syarikat kurang enam bulan selepas model tersebut dipamerkan buat julung kalinya di EICMA, November tahun lalu. Untuk rekod, bagi pasaran AS, 450 MT mengguna pakai nama Ibex 450.

ENJIN

Untuk rekod, 450 MT merupakan motosikal ketiga CFMOTO yang dikuasakan enjin parallel-twin 449cc dengan crank 270-darjah selepas 450 SR dan 450 NK. Enjin tersebut juga hadir dengan dua ‘counterbalancer’ bagi memastikan gegaran enjin berada pada tahap minimum sekaligus meningkatkan keselesaan menunggang. 

Bagaimanapun, enjin tersebut telah ditala semula dan kini menawarkan 44hp pada 8,500rpm dan 44Nm pada 6,250rpm berbanding 50hp dan 39Nm pada 450SR. 

Selain itu, berbanding 450SR dan 450NK kuasa puncak hadir pada 1,000rpm lebih rendah sementara tork puncak pula hadir 1,350rpm lebih awal sekaligus menyumbang kepada kemampuan ‘off-road’ dan ‘touring’. 

Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi manual 6-kelajuan dengan bantuan klac slipper. 

CASIS

Dalam pada itu, enjin – yang bertindak sebagai beban utama – dipadankan bersama kerangka jenis ‘steel tube’ yang lebih tahan lasak. Pakej suspensi pula merangkumi fork depan USD dari KYB boleh laras sementara bahagian belakang dikendalikan monoshock jenis multi-link KYB dengan pra-beban dan ‘rebound’ boleh laras. Kedua-dua komponen menawarkan jarak pergerakan 203mm. 

Sistem brek pula terdiri dari kaliper brek radial 4-pot J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek tunggal 320mm di depan sementara brek belakang terdiri dari kaliper brek 1-pot dengna cakera brek 240mm. Menariknya, sistem ABS didatangkan secara standard namun boleh dipadamkan ketika tunggangan ‘off-road’ bersama-sama ‘traction control’.

Sementara itu, CFMOTO 450 MT ini turut hadir dengan rim 21-inci depan dan 18-inci belakang sekaligus mengukuhkan status selaku motosikal berkeupayaan ‘off-road’. 

ELEKTRONIK 

Sistem ABS dan ‘traction control’ sekiranya mahu dipadamkan boleh diakses menerusi panel meter TFT 5-inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar. Sementara itu, 450 MT turut hadir dengan penghadang angin boleh laras, pencahayaan LED, plat skid aluminium dan slot pengecas USB. 

REKA BENTUK

Seperti model CFMOTO yang lain, 450 MT juga direka sepenuhnya Kiska Design, syarikat sama yang menghasilkan rekaan bagi mtoosikal KTM, GasGas dan Husqvarna. 

Menurut Kiska dalam satu kenyataan, reka bentuk 450 MT ini diilhamkan dari 800 MT namun memfokuskan bentuk badan yang lebih kompak selain ringan. 

HARGA

Bagi pasaran Amerika Syarikat, CFMOTO 450 MT ini dipasarkan dengan harga jualan USD6,499 (RM30k).

Google ads
Back to top button