Artikel Pilihan

10 KERETA DULU DIBENCI, DICACI. SEKARANG DICARI

Dalam dunia automotif, ada satu benda pelik berlaku. Beberapa model kereta tempatan dan import yang dulu disindir, kini diburu balik. Bukan disebabkan teknologi atau kuasa, tapi kereta tersebut ada karakter tersendiri dan nostalgia zaman silam

Malaysia sendiri ada dua contoh paling jelas iaitu Proton Arena dan Proton Juara. Dua model yang dulu jadi bahan lawak, tapi hari ini mula naik nilai. Jadi mari kita tengok 10 kereta yang gagal masa baru dilancarkan, tapi kini dicari semula oleh peminat.

1. Proton Arena – Pikap Separuh Sedan Separuh

Dilancarkan pada 2002, Proton Arena ibarat makhluk asing di jalan raya Malaysia. Ramai tidak faham kenapa Proton buat kereta separuh sedan, separuh pikap. Tapi hakikatnya, Arena diinspirasikan oleh ute dari negara Australia yang terkenal dengan konsep lifestyle pickup yang sesuai untuk anak muda aktif.

Masalahnya, masa tu rakyat kita belum sedia. Jadi Arena gagal dari segi jualan. Tapi 20 tahun kemudian, jualan Arena mula naik semula. Geng retro mod mengubah Arena menjadi gaya JDM atau mini truck show car, dan harga pasaran pun meningkat. Unit manual elok kini boleh cecah RM20,000–RM25,000.
Dulu pelik, sekarang unik.

2. Proton Juara – Peti Ais / Mesin Basuh

Ingat lagi Juara? Mini MPV petak yang Proton lancarkan sekitar 2001, dan terus jadi bahan lawak sebab rupanya macam peti sejuk. Tapi sebenarnya, Juara berasaskan Mitsubishi Town Box iaitu sebuah MPV kompak popular di Jepun.

Hari ini, peminat vanlife dan kei van mula mencari balik Juara. Dengan sedikit kreativiti, ruang belakang boleh diubah jadi katil mini, pantry atau workstation bergerak. Tambah cat dua tona dan rim retro, Juara terus bertukar menjadi MPV ikon gaya hidup.

3. Proton Satria GTi – Dari Terpinggir Jadi Klasik Nasional

Sewaktu dilancarkan pada 1998, ramai beranggapan bahawa Proton Satria GTi tak berbaloi disebabkan rekaannya yang kecil, dua pintu, dan harganya yangmahal. Tapi mereka silap besar.Dengan talaan suspensi Lotus, casis diperkukuhkan dan enjin 1.8 DOHC, GTi ialah salah satu hot hatch paling sedap dipandu pernah dihasilkan Proton.

Sekarang Satria GTi jadi rebutan di kalangan peminat. Unit yang asal tanpa sebarang perubahan kosmetik, tidak diubah suai dan cat masih kilat boleh mencecah RM60,000.Siapa sangka, kereta yang dulu “tak praktikal” kini jadi simbol kebanggaan tempatan.

4. Proton Satria Neo CPS – Baby Lotus Yang Mula Dihargai

Satria Neo CPS dulu kalah saingan dengan Myvi dan City dari segi jualan. Penganalisis automotif pening kepala melihat Neo kerana jualannya yang lemah. Bayangakan ada vendor mengatakan mereka perlu 15 tahun untuk balik modal pembangunan komponen.

Walaupun sasaran Proton ialah 3000 unit jualan sebulan, tapi ia adalah angan angan mat jenin. Tapi di litar, Neo adalah raja.Enjin CamPro CPS, chassis seimbang dan gear manual menjadikannya antara kereta paling menyeronokkan bawah RM20,000.

Kini, komuniti track day Malaysia mula kumpul Neo CPS sebab ia ringan, senang mod, dan rasa pemanduan tulen.Dulu orang pandang remeh, sekarang orang sanggup beratur.

5. Suzuki Jimny SJ413 – Dari ‘Sempit’ ke ‘Cool’

Zaman 90-an, siapa beli Jimny orang kata pelik. Keras, kecil, tak nampak jantan dan tak selesa. Tapi bila dunia mula rindu 4×4 analog, Jimny terus jadi idola. Dengan reka bentuk kotak dan pacuan 4WD sejati, Jimny SJ413 sekarang jadi rebutan pengumpul.

Harga naik dari bawah RM10,000 ke lebih RM40,000. Kalau dulu dianggap 4×4 untuk gadis comel, sekarang ia adalah lifestyle statement. Tak percaya cuba tengok iklan. Gila betul harganya

6. Toyota AE86 – Dari Gagal Jualan ke Legenda Drift

Waktu baru keluar sekitar 1983, AE86 hanyalah coupe kecil pacuan belakang dengan enjin 1.6 sahaja. Ini adalah model terakhir Toyota yang menggunakan pacuan roda belakang sebelum Toyota menggunakan FF sepenuhnya Tiada siapa jangka kereta ni akan cipta sejarah.

Tapi selepas muncul dalam anime Initial D serta manga, AE86 terus jadi simbol budaya drift dan semangat “driving purity”. Hari ini, harga AE86 di Jepun atau UK boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Dulu tak laku, sekarang jadi AE86 menjadi ikon dunia JDM.

7. Subaru BRAT – Pikap Pelik Yang Terlalu Awal Untuk Zamannya

Subaru BRAT (Bi-Drive Recreational All-Terrain) dilahirkan pada akhir 70-an. Ia pikap dua pintu dengan dua tempat duduk belakang menghadap belakang — rekaan pelik untuk mengelakan cukai di Amerika. Lebih pelik ialah cesinya menggunakan monocoque

Tapi sekarang, Subaru BRAT menjadi collector’s item. Konsepnya hampir sama macam Proton Arena, cuma Subaru BRAT dibuat 20 tahun lebih awal. Kadang-kadang, kereta pelik cuma perlukan masa untuk orang faham.

8. Honda CR-X – Si Kecil Yang Jadi Ikon Retro

Honda CR-X pernah dianggap kereta kecil yang tak praktikal. Tapi dengan enjin B-series dan berat di bawah satu tan, ia sebenarnya mini NSX dalam dalam pakej kompak. Hari ini, Honda CR-X jadi buruan pengumpul JDM seluruh dunia. Reka bentuk ringkas, rasa pemanduan tulen, dan enjin yang hidup pada 8,000rpm menjadikan ia kekal relevan walaupun dah tiga dekad.

9. Fiat Multipla – Dulu Bahan Gelak, Sekarang Karya Seni

Fiat Multipla, dengan rupa macam katak besar, dulu dianggap antara kereta paling hodoh di dunia. Tapi kini, reka bentuk pelik tu jadi daya tarikan. Ia sebuah kereta yangluas, fleksibel dan unik serta dalam dunia kereta moden yang seragam, Multipla nampak jujur dan berani. Ramai pengumpul Eropah mula cari semula Multipla sebab nilai nostalgianya. Kadang-kadang “ugly” tu cuma persepsi sementara.

10. Toyota Supra A80 – Hero Dalam Filem

Ramai orang ingat Supra Mk4 (A80) ni terus meletup sebab Fast & Furious, tapi hakikatnya semasa baru keluar awal 1990-an, ia bukan kereta laku pun. Toyota sudah melabur besar untuk menghasilkan model ni dengan enjin 2JZ-GTE, pacuan belakang, transmisi manual 6 kelajuan Getrag, dan aerodinamik halus hasil kajian wind tunnel. Tapi ada satu masalah besar.

Ia terlalu mahal pada zamannya, hampir menyamai Porsche 911 dan Nissan 300ZX Twin Turbo.
Ramai pembeli di Jepun dan Amerika masa tu tidak nampak sebab untuk membayar begitu banyak hanya untuk sebuah “Toyota”. A80 keluar masa ekonomi Jepun tengah perlahan lepas bubble burst tahun 90-an

Filem The Fast and the Furious tahun 2001 ubah segalanya. Paul Walker pandu Supra oren, dan dunia tiba-tiba jatuh cinta dengan kereta yang mereka tak pandang sebelum ni. Sejak itu, A80 terus melonjak jadi ikon global.

Dan bila komuniti tuner mula sedar betapa kuatnya enjin 2JZ-GTE, reputasi Supra terus meledak. Enjin tu boleh tampung lebih 1,000hp tanpa pecah. Dari situ lahir mitos “Supra tak boleh kalah drag race”.

Kenapa Kereta “Flop” Boleh Bangkit Balik?

Ada beberapa sebab utama kenapa kereta-kereta yang kami sebut di atas menjadi buruan balik peminat. Antaranya ialah:

  1. Idea terlalu awal. Proton Arena dan Juara gagal sebab rakyat belum faham konsep lifestyle vehicle.
  2. Trend nostalgia. Generasi yang dulu tengok iklan Arena masa kecil, sekarang dah mampu beli satu.
  3. Permintaan. Bila model makin pupus, harga naik sebab permintaan melebihi bekalan.
  4. Karakter. Kereta lama ada bentuk, bunyi, dan feel yang tak dapat ditiru EV moden.
  5. Era manual. Dalam dunia automatik serba digital, manual lama terasa lebih dekat.

Kadang-kadang, Gagal Itu Kejayaan Tertunda

Proton Arena, Juara, Satria GTi, AE86, dan lain-lain membuktikan bahawa tidak semua kegagalan kekal.
Kereta-kereta ni berani jadi berbeza dan masa akhirnya berpihak pada rekaan yang berani. Dalam dunia automotif moden yang senyap dan seragam, kereta-kereta “flop” ini jadi simbol kejujuran, hasil idea gila yang terlalu awal untuk zamannya.
.

Google ads
Back to top button