
CHERY FULWIN X3 DAN X3L BAKAL DILANCARKAN 16 OGOS: VARIAN EV DAN EREV, DIREKA UNTUK PEMINAT GAYA LASAK
Chery bersedia memperkenalkan dua model terbaharunya untuk pasaran China iaitu Fulwin X3 dan X3L pada 16 Ogos ini.
Kedua-duanya membawa gaya SUV off-road dengan rekaan berkotak yang kian menjadi pilihan, lengkap dengan lampu utama dan belakang berbentuk memanjang, pemegang pintu tersembunyi, serta bekas simpanan tambahan dipasang di belakang.
Fulwin X3 merupakan model elektrik sepenuhnya (BEV), manakala Fulwin X3L adalah versi lebih besar, menggunakan sistem extended-range EV (EREV), dan kedua-duanya diasaskan daripada model iCar 03 yang diubah suai.

Fulwin X3 – Pilihan RWD dan AWD, Jarak Gerak 520 km
Berukuran 4,327mm panjang, 1,910mm lebar dan 1,715mm tinggi, dengan jarak roda 2,715mm, Fulwin X3 tersedia dalam konfigurasi pacuan belakang (RWD) serta pacuan semua roda (AWD).
Varian RWD dikuasakan motor elektrik 248hp bersama bateri LFP 68.355kWh, memberikan jarak pemanduan sejauh 520km mengikut piawaian CLTC.
Sementara itu, versi AWD menghasilkan kuasa maksimum gabungan 342hp.

Fulwin X3L – Lebih Besar, Lebih Berkuasa
Model X3L hadir dalam dua ukuran sedikit berbeza bergantung pada varian, dengan panjang maksimum 4,545mm, lebar 1,950mm dan tinggi sehingga 1,815mm.
Jarak antara gandar pula mencecah 2,783mm. Ia turut dilengkapi pilihan cangkuk penunda dengan keupayaan menarik beban sehingga 1,600kg.
Sistem janaan kuasanya menggabungkan enjin 1.5-liter turbo (154hp) dan dua motor elektrik yang bersama-sama menghasilkan sehingga 422hp dan 505 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dicatat pada 4.7 saat, cukup pantas untuk sebuah SUV bersaiz sederhana.
Empat berat kendiri telah disenaraikan oleh MIIT China, iaitu antara 1,842kg hingga 2,000kg. Kapasiti bateri pula ditawarkan dalam dua pilihan – 20.638kWh dan 33.679kWh dengan jarak pemanduan elektrik sahaja sejauh 90km, 145km atau 150km (mengikut standard WLTC).

Kabin Futuristik dan Serba Lengkap
Kedua-dua Fulwin X3 dan X3L menampilkan ruang dalaman moden, dengan skrin infotainmen besar terapung, panel instrumen LCD berbentuk segi empat, roda stereng tiga jejari berbilang fungsi, serta liang pendingin hawa yang direka secara mendatar.
Tambahan menarik, konsol tengah turut menyediakan dua pad pengecasan tanpa wayar.
Pelancaran rasmi dijadualkan pada 16 Ogos, satu tarikh penting bagi peminat EV dan EREV yang inginkan SUV bergaya ranggi tetapi sarat teknologi terkini.
- BACA: VOLKSWAGEN TOUAREG BAKAL DITAMATKAN – PENAMAT BAGI ERA SUV PREMIUM JERMAN?
- BACA: GIVI U37N ULTIMO MONOLOCK KINI BOLEH DIDAPATI DI GIVI POINT SELURUH NEGARA – HANYA RM200
- BACA: DENZA D9 – TAMPARAN ELEKTRIK UNTUK ALPHARD & VELLFIRE?
- BACA: LEAPMOTOR HADIR DI 1 UTAMA MELALUI POP-UP STORE EKSKLUSIF CYCLE & CARRIAGE

