Pandu Uji

PANDU UJI: HONDA CITY HATCHBACK RS e:HEV. PADUAN MANTAP TORK 253NM, ULTRA SEATS DAN HONDA SENSING

Baru-baru ini, saya dijemput oleh Honda Malaysia untuk memandu uji model yang memang ditunggu-tunggu ramai, apa lagi kalau bukan City Hatchback. 

Ini merupakan antara model terpenting mereka kerana City Hatchback bakal mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Jazz, selepas Jazz generasi keempat sah tidak akan ditawarkan di Malaysia. Sebenarnya untuk pasaran Asia Tenggara, hanya Singapura yang menerima model comel tersebut. 

Berbalik kepada City Hatchback. Adakah produk itu benar-benar mantap dan sepadan dengan hype yang ditimbulkan sejak kebelakangan ini? Meneliti komen-komen yang diberi di media sosial, jentera yang dihasilkan di kilang Honda di  Pegoh, Melaka itu nampaknya disambut dengan tangan terbuka. 

Majoriti netizen memuji reka bentuknya yang cantik. Bukan itu sahaja, Honda Malaysia melengkapkan City Hatchback dengan pelbagai teknologi terkini. Sekali gus membuatkan ia salah satu model yang mesti dipandu uji sebelum anda hendak membeli sebuah hatchback segmen B. 

Sesi ujian mengambil tempat di Litar Antarabangsa Sepang (South Track). Di sana, saya diberi peluang memandu uji  dua varian City Hatchback iaitu V dan e:HEV RS (varian tertinggi), di samping sebuah model pesaingnya. 

Bermula dengan varian V, secara peribadinya saya sangat menyukai warna putih yang dilayangka ke atas tubuhnya. 

Perkara pertama yang diuji pada model V ialah sistem pemantauan titik buta yang dikenali sebagai Honda LaneWatch. Ia memang satu inovasi yang bijak kerana kamera yang dipasang pada bahagian bawah cermin sisi sebelah kiri akan memaparkan visual objek yang ada di dalam sudut titik buta bahagian kiri pemandu. 

Sebagai bekas pemilik Honda CR-V 1.5 TC-P, saya rasa paparan visual yang diberikan oleh sistem itu kini lebih luas. Jadi, ia memang sangat membantu pemandu supaya tidak membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain ketika hendak menukar haluan. 

Model itu dikuasakan oleh enjin aspirasi biasa 1.5L DOHC i-VTEC yang mampu menjana 121PS dan tork 145Nm. Menjadi sedan paling berkuasa dalam kelasnya, urusan melayan selekoh di litar dapat disempurnakan tanpa sebarang masalah. 

Sebelum masuk ke pit, saya membuat ujian slalom untuk menguji kelincahan jentera ini. All good, badannya mampu mengikut pusingan stereng dengan mudah bersama olengan badan yang sangat minimum. 

Kemudian, saya memandu pula bintang pada pagi itu, City Hatchback RS e:HEV. Perkara pertama yang saya perasan ialah kesenyapan kabinnya. Tekan butang penghidup enjin dan pijak pendikit minyak, kereta pantas bergerak tanpa sebarang bunyi kedengaran dari ruang enjin. 

Menggantikan sistem hibrid sebelum ini iaitu Sports Hybrid i-DCD yang sempat dipasang pada Jazz generasi ketiga, jentera tersebut digerakkan oleh dua unit motor elektrik yang ada pada sistem hibrid intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). 

Dah rasa macam pandu kereta elektrik. Tetapi, bunyi enjin akan mula kedengaran apabila pendikit minyak terus ditekan untuk menguji ciri Adaptive Cruise Control (ACC) yang menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan Honda SENSING. 

Secara mudahnya, ACC berfungsi memperlahan dan meningkatkan kelajuan kereta mengikut pecutan kereta di hadapan. Sistem itu sangat berguna terutama di lebuh raya dan boleh membuatkan pemanduan berasa kurang penat walaupun dalam tempoh yang lama. 

Selain penjimatan bahan api mengagumkan iaitu sekitar 3.77 liter bagi 100km (berdasarkan kepada City sedan RS e:HEV), aspek yang sering ditekankan ialah kuasa tork sebanyak 253Nm. Ya, gabungan enjin 1.5L Sports dengan sistem hibrid i-MMD itu memberikan kuasa tork yang cukup tinggi kepada City Hatchback. 

Saya bukan hendak mengecewakan anda. Tetapi lebih kepada ingin menguruskan ekspektasi ketika memandu City Hatchback RS e:HEV. Maksud saya, anda tidak akan merasai keseluruhan kuasa 253Nm tork itu apabila menekan pendikit minyak rapat ke lantai. 

Tayar tidak akan berdecit-decit akibat kuasa tork yang tinggi. Badan juga tidak akan merasa sebarang G-Force berbanding jika anda memandu sebuah kereta elektrik sebenar. Ini kerana kuasa tork pada jentera ini lebih bersifat linear. 

Tujahan kuasa terasa lembut dan lancar mengikut momentum yang terbina mengikut masa serta jarak. Tiada apa yang dramatik selain kelancaran semasa bergerak dari titik pegun dan ketika hendak memotong kenderaan lain di atas jalan raya. 

Di atas litar, City Hatchback RS e:HEV menawarkan dinamik pemanduan yang lebih baik berbanding varian petrol biasa. Mengambil selekoh tajam pada kelajuan tinggi rasa begitu bersahaja. Cuma, anda mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan feel brek regenatif itu. 

Kualiti pengendaliannya sekali lagi di uji di seksyen slalom. Hatchback itu jelas terasa lebih planted apabila stereng dikilas ke kiri dan kanan dengan pantas untuk mengelak kon yang telah disusun. Harus tahu bahawa ia menggunakan sistem suspensi yang sama sepenuhnya dengan City sedan. 

Saya fikir, bateri hibrid yang diletakkan di bahagian belakang membuatkan agihan berat hatchback ini menjadi lebih seimbang, sekali gus dapat menawarkan pengendalian yang ternyata mantap. 

Habis sesi pandu uji, saya meninjau pula bahagian kabin City Hatchback RS e:HEV. Model yang dipamerkan itu hadir dalam warna kelabu lebih gelap berbanding tona yang biasa digunakan oleh Honda Malaysia. 

Secara ringkasnya, rekaan dan susun atur kabin model itu hampir sama dengan apa yang ada pada City sedan. Papan pemuka dipasang dengan skrin sentuh bersaiz 8 inci bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi varian tertinggi, konsol tengah kelihatan lebih kemas kerana ia dilengkapi brek parkir elektrik. 

Namun, apa yang paling menarik ialah City Hatchback didatangkan dengan ciri ULTRA Seats sama seperti Jazz. Ini bermakna, empat konfigurasi tempat duduk iaitu Utility, Long, Tall dan Refresh menjanjikan ruang dalaman yang sangat fleksibel. 

Senang cakap, tidak kira bagaimana bentuk barang yang hendak dibawa sama ada panjang, pendek, besar atau tinggi, semuanya boleh disumbat ke dalam kabin City Hatchback dengan mudah. 

Bagi memberi keselesaan kepada semua penumpang, ia hadir dengan corong pendingin hawa dan fungsi penghidup enjin dari jauh. Dengan hanya menekan butang pada kunci, enjin akan dihidupkan tanpa perlu membuka pintu untuk mengaktifkan sistem pendingin hawa. Jadi, suhu kabin pasti lebih sejuk apabila anda masuk ke dalamnya nanti. 

Buat masa sekarang, Honda Malaysia masih belum mahu berkongsi tentang berapakah harga untuk memiliki sebuah City Hatchback. Biarpun begitu, saya fikir hanganya tidak akan lari jauh berbanding model City sedan. 

Amacam, dah goyang ke belum?  

GALERI

Google ads
Back to top button