Artikel PilihanBuletin

FERRARI F40 KINI SUDAH BERUSIA 30 TAHUN – KERETA TERAKHIR DENGAN SIGNATUR ENZO FERRARI

Model edisi khas keluaran Ferrari sememangnya berada di aras tersendiri. Selain rekabentuk yang berbeza dari model umum, ia berkemungkinan tinggi boleh menambah kekayaan pemiliknya. Model edisi khas ibarat melawan arus, di masa model lain mengalami susut nilai, ia semakin mahal dari tahun ke tahun.

Ferrari F40 adalah model yang begitu istimewa, ia dibina sempena ulang tahun ke-40 Ferrari. Menambah keistimewaan F40 ialah ia model terakhir yang mempunyai signatur pengasasnya, Enzo Ferrari.

Pada 21 Julai lalu, Ferrari F40 sudah memasuki usia ke-30 sejak pertama kali di perkenalkan di Civic Centre, Maranello yang kini menjadi Muzium Ferrari.

F40 dibina berasaskan model 308 GTB dan 288 GTO Evoluzione prototype. Ia adalah refleksi kepada kemajuan teknologi yang dicapai Ferrari dan dikatakan sebagai simbol pada era itu. Pada masa yang sama F40 juga kembali kepada asal-usul Ferrari sewaktu era kereta lumba adalah kereta yang sama digunakan di atas jalan raya.

Sempena ulangtahun yang ke-30, Ferrari telah mengumpul semula kenangan tiga orang penting dalam projek ini. Mereka ialah Ermanno Bonfiglioli, Ketua Projek Istimewa, Leonardo Fioravanti, Pereka dari Pininfarina dan Dario Benuzzi sebagai pemandu uji.

Di bawah ialah ekstrak dari ingatan tokoh-tokoh tersebut:

Ermanno Bonfiglioli – Ketua projek khas

  • Ketua Projek Istimewa yang bertanggung jawab untuk enjin supecaj
  • Tiada seorang pun kecuali mereka yang rapat dengan Enzo Ferrari sahaja pernah melihat model ini sewaktu dibangunkan
  • F40 dibangunkan dan diuji secara rahsia
  • Tempoh pembangunan begitu singkat – hanya 13 bulan
  • Pembangunan casis dan badan dibangunkan serentak dengan nadi kuasa
  • Enjin projek F 120 A direka pada Jun 1986 – F40 dilancarkan pada Julai 1987
  • Enjin dibangunkan dari model prototaip 288 GTO Evoluzione – lapan silinder, 478 hp turbo berkembar
  • Enjin itu mempunyai beberapa inovasi tambahan dan model pertama Ferrari yang melebihi kelajuan 320 km/j
  • Fokus diberikan kepada berat enjin dan penggunaan material magnesium secara ekstensif pada takungan minyak pelincir (oil sump), penutup kepala silinder, manifold pengambilan dan gearbox bell-housing
  • Kos magnesium lima kali ganda lebih mahal dari aluminium aloi dan tidak pernah digunakan dengan jumlah sebanyak itu pada model-model produksi berikutnya

Leonardo Fioravanti – Pereka dari Pininfarina

  • Enzo Ferrari menjemput Leonardo Fioravanti, pereka dari Pininfarina ke Fiorano untuk menguji prototaip 288 GTO Evoluzione dengan output kuasa 650 hp
  • Model prototaip itu tidak dikeluarkan secara rasmi susulan beberapa isu dengan peraturan pengeluaran
  • Enzo Ferrari pertama kali menyuarakan hasratnya untuk menghasilkan sebuah Ferrari yang benar-benar Ferrari
  • Pada masa itu Leonardo Fioravanti  mula mengetahui bahawa projek yang bakal dibina adalah yang terakhir dari pengasas Ferrari
  • Penyelidikan dilakukan secara ekstensif menggunakan terowong angin bagi mengoptimumkan aerodinamik – Dibuat untuk mencapai tahap pekali (coefficients) paling sesuai untuk model jalanan Ferrari paling berkuasa
  • Rekabentuk F40 sepadan dengan prestasinya
  • Bonet yang rendah dengan ruang overhang sangat kecil, corong udara NACA (NASA) dan spoiler belakang dengan sudut letak oleh rakan pereka Aldo Brovarone yang tepat menjadikan model ini begitu popular
  • Satu ciri kejayaan F40 ialah garis badan kereta yang berjaya melambangkan spesifikasi teknikal, kelajuan, berat yang ringan dan prestasinya

Dario Benuzzi – Pemandu uji Ferrari

  • Pemandu uji Ferrari sejak sekian lama
  • Pengendalian model prototaip pertama adalah teruk
  • Untuk menawan kuasa enjin yang begitu besar dan menjadikannya sebuah kereta jalanan, pasukan pembangunan perlu menguji model ini dengan sejumlah ujian – Dari pengecas turbo kepada sistem pembrekan, penyerap hentak hinggalah tayar
  • Hasil ujian menjadikan beban aerodinamik model ini begitu cemerlang dan begitu stabil pada kelajuan tinggi
  • Satu aspek penting ialah melalui penggunaan rangka keluli tiub (tubular steel ) dengan panel pengukuhan Kevlar yang memberikan tiga kali ganda ketegaran kilasan (torsional rigidity) berbanding kereta lain pada masas itu
  • Selain itu, badan kereta yang diperbuat dari material komposit juga berjaya mengurangkan berat kepada hanya 1100 kg sahaja
  • Selepas sejumlah ujian dan pembangunan, akhirnya mereka benar-benar dapat apa yang dimahukan – kereta yang mempunyai sedikit keselesaan dan tanpa kompromi
  • F40 ini tidak mempunyai stereng berkuasa, brek berkuasa mahupun peralatan elektronik
  • Ia memerlukan skil yang tinggi dari pemandu yang mampu memberikan pengalaman pemanduan unik
  • F40 mempunyai ketepatan stereng, cengkaman jalan, kuasa pembrekan dan daya pecutan tidak sama dengan kereta jalanan lain

F40 sekarang ini boleh dilihat dan dihayati di Ferrari Museum of Maranello sempena pameran Under the Skin khusus untuk meraikan evolusi dan inovasi gayaan sepanjang 70 tahun penubuhan Ferrari.

Lagi bacaan menarik tentang Ferrari:

LELAKI INI SAMAN FERRARI KERANA TAK DAPAT BELI APERTA

POLIS ITALI GAGALKAN CUBAAN CURI MAYAT ENZO FERRARI

Google ads
Back to top button