Buletin

INI AYAHANDA GT-R50, NISSAN SKYLINE 2000 GT-R 1972

Nissan GT-R50 by Italdesign berjaya menarik perhatian ramai apabila ia dipertontonkan beberapa bulan lalu. Model ini dibina bersama Italdesign bagi meraikan ulang tahun kelahiran GT-R pada tahun 2019 dan Italdesign pada tahun 2018.

Walaupun dibina dari GT-R, model ini mempunyai banyak perbezaan sama ada dari segi luaran dan dalaman. GT-R50 tampil dengan indentiti rekaan Itali dan ia bermakna dua perkara, suka atau sebaliknya.

Selepas menggegar media sosial, GT-R50 dibawa ke merata tempat di Eropah dan Amerika Syarikat termasuk menyertai Festival Kelajuan Goodwood di England pada Julai lalu.

Bermula 15 Oktober hingga 25 November GT-R50 ini akan pulang ke tempat lahirnya dan dipamerkan di Nissan Crossing, Ginza, Tokyo untuk tontonan awam.

Sedikit ulangkaji, GT-R50 adalah model istimewa dengan warna Liquid Kinetic Gray dan riasan Energetic Sigma Gold. Model ini dikuasakan oleh enjin pemasangan tangan VR38DETT yang telah dinaik taraf oleh NISMO berdasarkan pengalaman perlumbaan GT3.

Anggaran kuasa enjin ialah 720 ps dan tork 780 Nm. Nissan sebenarnya masih berteka-teki sama ada ia bakal dijual atau tidak tetapi suatu yang pasti dari Nissan sendiri ialah berkemungkinan akan ditawarkan sebanyak 50 unit edisi terhad.

Harganya pula dianggarkan bermula dari JPY 117 juta atau bersamaan RM 4.2 juta sahaja.

Namun di sebalik pelbagai cerita GT-R50 ada satu perkara asas yang tidak dihebahkan sebelum ini.

Di sebalik Italdesign atau spesifikasi GT3, model istimewa ini sebenarnya mempunyai ayahanda. Model yang dimaksudkan ialah Nissan Skyline 2000 GT-R 1972 dibuat khas untuk Pameran Kenderaan Tokyo (TMS) 1972 dan turut menginspirasi Nissan Concept Vision 2020 Gran Turismo.

Model ini atau nama panggilannya Skyline 2000GT-R Racing Concept dipamerkan di TMS 1972 selepas pengenalan Skyline C110 pada September tahun yang sama.

Nombor 73 pada sisi kereta merujuk kepada musim perlumbaan tahun 1973. Nissan walaubagaimanapun telah menghentikan projek ini selepas pembangunan teknologi anti pencemaran dan penambahbaikan penggunaan bahan api.

Kereta ini kemudian dibaik pulih Nissan Restoration Club pada tahun 2007, 35 tahun selepas pengenalannya dan dibawa ke Festival NISMO pada tahun sama.

Cerita tentang GT-R50 sebenarnya belum habis. Sempena pameran di Tokyo, Seiko Watch Corp akan mengeluarkan jam buatan khas dengan nama Grand Seiko Sports Collection Spring-Drive Chronograph GMT.

Jam ini dipamerkan di Ginza Wako berhadapan NIssan Crossing dan sudah boleh ditempah bermula sekarang.

Memang istimewa dan inilah cara Jepun menghargai model keluarannya, sebagai kebanggaan dan objek seni.

BACA: INI FOTO JARAK DEKAT NISSAN GT-R50 by ITALDESIGN DI GOODWOOD

BACA: NISSAN GT-R PREMIUM EDITION RASMI DIJUAL DI THAILAND – GODZILLA INI BERHARGA RM1.69 JUTA

Google ads
Back to top button