Pandu Uji

FORD FIESTA – PAKEJ LENGKAP

Di Malaysia, Ford menjadi idaman ramai pada zaman 1980-an, ketika model Ford Laser S dan TX3 sangat popular. Pada waktu itu, Ford Laser S dan TX3 dilihat sebagai model terbaik bagi mereka yang mahukan gaya, kuasa serta kualiti pengendalian mengagumkan.

SONY DSC

Namun, populariti itu tidak dapat bertahan lama. Kereta penumpang Ford nampaknya gagal untuk menarik perhatian pengguna. Model yang hidup cuma trak pikap Ranger. Selebihnya, termasuklah Focus generasi pertama dan kedua tidak mampu mengembalikan kegemilangan kereta Ford dalam kalangan pengguna tempatan.

Situasi itu bagaimanapun berubah apabila pengedar kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby AutoConnexion Sdn. Bhd. (SDAC) mula memperkenalkan model-model menarik dan mahu dibeli oleh pelanggan.

SONY DSC

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa model yang berjaya menyelamatkan jenama Ford di sini ialah model kompak, Fiesta. Diperkenalkan pada tahun 2010, Fiesta pantas menjadi pemangkin kepada pertumbuhan jualan Ford di Malaysia. Malah, Fiesta menjadi antara model pilihan bagi mereka yang pertama kali hendak memiliki kereta.

Minat terhadap Fiesta didorong oleh beberapa faktor. Antaranya, penampilan luaran yang dinamik, padat ciri dan kualiti pemanduan yang sememangnya sinonim dengan jenama Ford.

SONY DSC

Tiga tahun berlalu, SDAC memperkenalkan pula varian facelift Fiesta yang terus membuatkannya semakin diminati. Perubahan paling ketara ialah enjin Duratec 1.5 liter 16 injap Ti-VCT berkuasa 112PS. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan dual clutch Powershift. Ia menggantikan dua sesaran enjin pada varian Fiesta sebelum ini iaitu 1.6 liter dan 1.4 liter untuk spesifikasi manual.

Walaupun kurang 8PS dan 12Nm tork berbanding enjin terdahulu, kuasa enjin masih boleh dianggap memadai kerana tubuh Fiesta adalah 28 kilogram lebih ringan. Cuma, anda mungkin kurang selesa dengan rasa senggukan yang agak ketara apabila gear ditukar, terutama ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Ini perkara biasa yang dialami oleh kotak gear berkembar jenis kering.

SONY DSC

Tetapi, situasi itu hilang sebaik sahaja memasuki lebuh raya. Penukaran gear dapat dilakukan dengan lancar. Walaupun kuasa yang ditawarkan tidaklah bersifat serta-merta apabila pedal minyak ditekan, tetapi anda tidak akan berasa teragak-agak untuk memotong kenderaan lain.

Memandu Fiesta selama beberapa hari, saya sangat menghargai kualiti pemanduannya yang dinamik. Mengambil selekoh boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Fiesta memastikan olengan tubuhnya berada pada tahap minimum. Sekali gus menawarkan keselesaan kepada pemandu dan penumpangnya.

SONY DSC

Sistem suspensinya juga dapat menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan dengan baik. Cuma, kalau dipandu laju, bunyi angin dan enjin dapat didengar dengan agak ketara.

Sebagai sebuah model facelift, beberapa ciri telah ditambah. Antaranya ialah sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin. Sementara Ford SYNC pasti dihargai oleh mereka yang tahu menggunakan sistem infotainmen itu sepenuhnya.

SONY DSC

Sistem keselamatan pasif dan aktif pada Fiesta juga impresif. Didatangkan sebagai ciri standard, pemanduan pastinya lebih meyakinkan dengan kehadiran sistem brek ABS, EBD, kawalan kestabilan, Hill Launch Assist (HLA), ISOFIX dan dua beg udara.

Dari segi penampilan pula, model baharu ini dapat dikenali dengan mudah menerusi gril hadapannya yang lebar. Apa pun, Fiesta memang sebuah kompak yang menarik perhatian.

SONY DSC

Hasil kombinasi rekaan, ciri dan teknologi, Fiesta memiliki formula yang cukup untuk bersaing dengan model-model sekelasnya seperti Kia Rio atau Peugeot 208, walaupun bukanlah terlalu mudah sebenarnya.

[hr]GALERI

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button